Spartan Race Malaysia kembali, 6,000 peserta uji ketahanan

Spartan Race Malaysia kembali, 6,000 peserta uji ketahanan

SEBAHAGIAN peserta sukan lasak berhalangan, Spartan Race Malaysia yang mengambil bahagian di Pusat Sukan Estuari, Iskandar Puteri, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Acara sukan lasak berhalangan, Spartan Race Malaysia kembali diadakan di Johor dan akan membuka tirainya pada Sabtu dan Ahad ini di Pusat Sukan Estuari, di sini.

Perlumbaan anjuran syarikat Unbreakable Events Malaysia Sdn. Bhd. yang mendapat sokongan Tourism itu akan disertai kira-kira 6,000 peserta bagi menyertai lima kategori yang dipertandingkan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michael Goodwin berkata, Spartan Race Malaysia ini akan menjadi kejohanan hujung minggu Trifecta utama pertama di seluruh Asia Tenggara serta menjadi acara pembukaan pertama siri Asean Selatan 2024 (Singapura-Indonesia-Malaysia).

MICHAEL GOODWIN

Katanya, ini adalah kali keempat Johor menjadi tuan rumah kepada Spartan Race Malaysia sejak ia pertama kali dianjurkan pada 2015 dan telah mengadakan 13 perlumbaan yang disertai lebih 68,000 pelumba.

“Acara KL Trifecta Weekend 2023 pada Oktober tahun lalu berjaya mengumpul lebih 6,000 pelumba daripada 30 negara. Pada tahun ini, kita jangkakan jumlah pelumba yang hampir sama dengan penambahan pelumba import seramai 3,500.

“Perlumbaan ini juga akan menjadi pentas buat peserta untuk melayakkan diri ke Kejohanan APAC Spartan Race di Gold Coast, Australia pada September depan,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Sukan Estuari, di sini hari ini.

Pelumba antarabangsa yang akan menyertai perlumbaan itu melibatkan peserta dari Jepun, Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia, Brunei, Emeriyah Arab Bersatu, China, Australia, Kanada, Perancis dan Jerman.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah Spartan Beast 21 Kilometer (KM), Spartan Super 10KM, Spartan Sprint 5KM, Spartan Kids dan Hurricane Heat.

Goodwin berkata, penganjuran sukan bertaraf antarabangsa itu yang menarik penyertaan dari rantau ini mampu meletakkan Johor sebagai hab pelancongan sukan.

“Johor sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah kerana kedudukan yang strategik dan memudahkan perjalanan peserta yang datang dari Singapura dan Indonesia.

“Kemudahan dan infrastruktur yang selesa menjadikan penganjuran acara sukan ini lebih mudah dan teratur,” katanya.

Bagi memudahkan perjalanan ke acara tersebut, perkhidmatan bas perantara secara percuma disediakan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) di Marina Walk, di sini antara pukul 4.30 hingga 8.30 pagi dan 12 tengah hari hingga 3 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN