PUTRAJAYA : Kementerian Sumber Manusia memberi tempoh sehingga 28 Februari ini kepada majikan untuk melakukan saringan Covid-19 terhadap pekerja asing masing-masing.
Mana-mana majikan yang gagal berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing mereka tidak diperbaharui.
Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, majikan yang belum melakukan ujian saringan terhadap pekerja asing mereka digesa segera berbuat demikian.
Beliau berkata, ujian saringan itu penting memandangkan berlakunya peningkatan kes Covid-19 baru-baru ini termasuk kluster berkaitan tempat kerja yang semakin membimbangkan.
“Majikan diingatkan sekali lagi untuk wajib memastikan pekerja asing yang digajikan mereka melakukan ujian saringan Covid-19 bagi membendung penularan wabak pandemik Covid-19.
“Arahan ini adalah selaras dengan Seksyen 11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saravanan berkata, operasi dan pemeriksaan dilakukan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mendapati, masih banyak majikan yang gagal memastikan pekerja asing digajikan mereka membuat ujian saringan Covid-19 meskipun arahan dikeluarkan untuk berbuat demikian.
Katanya, majikan yang menanggung kos saringan Covid-19 mendapat potongan cukai berganda bagi bayaran kos saringan pekerja yang dibuat sepanjang tahun 2021.
Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, saringan Covid-19 pekerja asing diperluas ke seluruh negara mulai 2 Februari lalu. – UTUSAN ONLINE










