PUTRAJAYA: Hari pertama pelaksanaan program saringan pekerja asing di seluruh negara semalam menyaksikan jumlah disahkan positif Covid-19 ialah 85 orang, sama seperti kelmarin.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu direkodkan oleh Kementerian Sumber Manusia setelah semua negeri mula melakukan program wajib tersebut.
“Kementerian itu memaklumkan sejumlah 7,262 pekerja warga asing sudah menjalani saringan di seluruh negara semalam,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Menurut Ismail Sabri, secara kumulatif, sejak 1 Disember tahun lalu, seramai 273,032 individu selesai melakukan ujian saringan Covid-19 melibatkan penyertaan sejumlah 11,340 majikan.
Daripada jumlah berkenaan, katanya, hanya 4,952 pekerja warga asing yang disahkan positif pandemik tersebut manakala selebihnya iaitu seramai 268,080 orang lagi adalah negatif.
Sebanyak 890 klinik terlibat dalam program mandatori itu selari arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.
Buat permulaan, arahan itu diwajibkan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan sebelum diperluas ke negeri lain.
Mulai semalam, ujian yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu turut meliputi kepada baki sembilan buah negeri lain dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Keperluan saringan ini diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.
Proses saringan tersebut hanya menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dengan kos untuk kit ujian itu dibiayai sepenuhnya Perkeso.
Kementerian Sumber Manusia menetapkan tempoh akhir sehingga 28 Februari ini kepada semua majikan di seluruh negara melakukan saringan untuk pekerja asing masing-masing.
Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan menegaskan, majikan gagal berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk pekerja mereka tidak diperbaharui. – UTUSAN ONLINE










