PELABUHAN KLANG: Tindakan sebuah syarikat membawa bunga kering dari China tanpa permit import yang sah membawa padah apabila kontena itu dirampas di pintu masuk Pelabuhan Klang Utara, Khamis lalu.
Difahamkan, bunga kering yang dibawa masuk itu bertujuan untuk perusahaan minuman dan makanan bagi pasaran tempatan.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor, Dr. Tarmisal Alimin berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap kontena tersebut di tapak pemeriksaan gudang B2 pelabuhan itu menemukan dua jenis bunga kering iaitu bunga lili dan kekwa.
“Siasatan lanjut mendapati syarikat yang membawa masuk bunga kering ini tidak mempunyai permit import sah daripada MAQIS.
“Keseluruhan rampasan seberat 870 kilogram bagi kedua-dua bunga itu dianggarkan bernilai RM26,587.43,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Dr. Tarmisal, kontena yang membawa dagangan tersebut juga telah disita dan kes disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“Kita telah mengesan syarikat yang membawa barangan ini dan dipercayai milik warga tempatan. Jika di sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
“Malah, kita akan sentiasa memastikan ketelitian dan kecekapan bagi setiap pemeriksaan yang di\laksanakan bagi kesemua keluaran pertanian yang diimport ke negara ini.
“Perkara ini penting kerana untuk memastikan jaminan setiap keluaran pertanian yang dibawa masuk ke negara ini tiada perosak dan penyakit serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE









