PARIS: Kerajaan Perancis pada Isnin mengharamkan pameran senjata serangan milik Israel daripada dipamerkan pada Pameran Pertahanan dan Keselamatan Antarabangsa Eurosatory 2026.
Susulan sekatan tersebut, Kementerian Pertahanan Israel mengecam keras tindakan berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu keputusan yang memalukan.
Bagaimanapun, pihak penganjur Eurosatory memaklumkan bahawa sistem pertahanan Israel masih dibenarkan untuk mengambil bahagian, namun ia tertakluk sepenuhnya kepada keputusan dan syarat ketat yang telah ditetapkan oleh kerajaan Perancis.
Menerusi kenyataan rasmi, Kementerian Pertahanan Israel mendedahkan bahawa Perancis telah melarang pegawai kerajaan Israel daripada menghadiri pameran senjata berprestij itu selain mengenakan sekatan terhadap syarikat-syarikat dari negara berkenaan yang ingin mempamerkan aset mereka.
Lebih 2,600 pempamer dijadualkan mengambil bahagian dalam Eurosatory tahun ini, salah satu pameran senjata terbesar di dunia yang berlangsung dari 15 hingga 19 Jun di Pusat Pameran Paris Nord Villepinte, di utara ibu negara Perancis.
Sementara itu, pihak kementerian menyatakan bahawa tindakan itu menyebabkan Israel tidak mempunya pilihan selain terpaksa membatalkan penyertaan keseluruhan dan gagal untuk membuka pavilion kebangsaan mereka sendiri.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Israel menyelar tindakan itu dengan menyifatkannya sebagai sebuah keputusan memalukan yang berbau perkiraan politik dan komersial.
Malah jurucakap itu mendakwa pengharaman tersebut tidak mengejutkan kerana ia selari dengan corak tindakan Perancis sejak beberapa tahun kebelakangan ini berada di landasan sejarah yang salah.
Dalam pada itu, pihak penganjur Eurosatory mengesahkan bahawa kehadiran sistem pertahanan Israel masih diberi kebenaran untuk menyertai pameran senjata berskala besar tetapi dengan skop yang sangat terhad.
Presiden COGES Events, Charles Beaudouin menjelaskan bahawa hanya pempamer Israel yang membawakan sistem anti-balistik dan sistem pertahanan anti-udara sahaja dibenarkan untuk membuat penampilan.
Beliau menyatakan bahawa keputusan tersebut merupakan arahan mutlak daripada Majlis Pertahanan kerajaan Perancis.
Pihak penganjur turut menyatakan bahawa tiada sebarang ruang kekeliruan dalam penguatkuasaan syarat tersebut.
Sekiranya sesebuah syarikat pempamer itu merupakan pengeluar roket, mereka sama sekali tidak akan dibenarkan untuk mempamerkan produk terbabit bagi memastikan tiada sebarang senjata berbentuk serangan dibawa masuk ke ruang pameran.
Kementerian Pertahanan Perancis mengesahkan bahawa penglibatan syarikat Israel kali ini akan dihadkan secara eksklusif kepada perkongsian peralatan dan bahan berkaitan pertahanan udara serta pertahanan peluru berpandu tanpa memperincikan ulasan lanjut mengenai hujah di sebalik sekatan tersebut.
Kementerian itu sebelum ini pernah menyekat penyertaan Israel daripada mengambil bahagian dalam pameran senjata Eurosatory 2024 ekoran krisis perang di Gaza, Palestin. – AGENSI










