KUALA LUMPUR: Penyanyi, Liza Hanim tidak mengambil pusing terhadap komen netizen yang menyifatkannya seorang ibu yang keterlaluan dalam mempertahankan anaknya, Marsya Qistina.
Menurut Liza, sebagai ibu, menjadi tanggungjawabnya untuk melindungi dan mempertahankan anaknya lebih-lebih lagi marsya yang masih baharu dalam dunia hiburan.
“Mungkin ada yang tidak memahami perasaan itu. Pada saya, setiap ibu pasti mempunyai perasaan yang sama. Jadi apabila ada yang mengatakan saya bersikap sedemikian kerana diri saya sendiri, saya rasa mungkin mereka bukan ibu bapa atau belum pernah melalui situasi seperti ini.
“Sebagai seorang ibu, perasaan itu memang akan sentiasa ada. Perasaan untuk melindungi anak-anak tidak akan hilang,” katanya semasa majlis pelancaran single Marsya, Siapa Diriku petang tadi.
Menurut Liza, tindakannya itu bukan memanjakan Marsya sebaliknya menjadi tempat paling selamat apabila anak-anaknya berdepan musibah.
“Anak-anak perlu tahu bahawa akan sentiasa ada seseorang yang menyokong dan membantu mereka apabila diperlukan. Bukan bermaksud kita memanjakan mereka sehingga tidak mampu berdikari. Anak saya seorang yang sangat berdikari dan matang untuk usianya.
“Tetapi mereka perlu sentiasa mempunyai keyakinan bahawa apa sahaja yang berlaku, mereka boleh pulang ke rumah dan berada dalam keadaan selamat. Itulah yang paling penting.
“Saya percaya semua ibu mempunyai perasaan seperti itu. Alhamdulillah, anak saya seorang yang kuat dan tahu bagaimana untuk menguruskan kehidupannya sendiri. Dalam masa sama, saya juga belajar untuk lebih bertenang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Liza mengakui
tidak rasa terkilan apabila dilabel dengan pelbagai tanggapan.
“Jika mahu, saya juga boleh melabel orang lain dan mengatakan mereka tidak memahami kerana tidak mempunyai anak. Tetapi saya tidak melihat perkara itu begitu.
“Saya percaya ibu bapa yang benar-benar mengambil berat tentang anak-anak pasti akan mempunyai perasaan yang sama, walaupun dalam kadar yang berbeza. Kalau langsung tiada perasaan itu, pada saya ia agak pelik.
“Ramai yang menganggap saya terlalu melindungi anak, tetapi sebenarnya tidak. Saya memberi kebebasan kepada Marsya untuk membuat pilihan dan menentukan hala tuju hidupnya sendiri.
“Asalkan dia berpegang kepada perancangan yang telah ditetapkan dan tahu apa yang dilakukan, saya akan sentiasa menyokong. Dalam masa sama, seperti yang saya katakan, saya juga sedang belajar untuk lebih tenang dan melepaskan sedikit demi sedikit,” katanya.









