KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan orang kenamaan (VIP) pertama yang disenaraikan dalam data pesalah rasuah dalam laman sesawang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sebaliknya maklumat beberapa VIP lain pernah berada di dalam pangkalan itu sebelum ini namun paparan tersebut telah dipadamkan memandangkan nama-nama pesalah itu telah berada selama tiga tahun dalam laman sesawang tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd. Jamil memberitahu, maklumat perincian kes Najib serta beberapa pesalah rasuah lain dipaparkan susulan proses kemas kini yang dilakukan SPRM.
Ujarnya, antara pesalah rasuah yang tersenarai termasuk bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md. Don dan bekas Ahli Lembaga Pengarah Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB), Datuk Faizoull Ahmad.
“Kemas kini yang dilakukan adalah membabitkan pesalah rasuah yang telah disabitkan kesalahan pada awal tahun ini sehingga 3 September lalu dan sebanyak 632 maklumat pesalah telah dipaparkan di laman sensawang ini.
“Jadi, tidak kira ahli politik, kakitangan awam, ahli perniagaan dan orang awam, jika individu berkenaan didapati bersalah nama mereka akan dimasukkan dalam pangkalan data tersebut,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam pada itu, hasil semakan Utusan Malaysia pada portal tersebut mendapati, data Ahli Parlimen Pekan tersebut dimasukkan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai lalu memutuskan bahawa Najib didapati bersalah atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Najib juga didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalah gunakan kuasa membabitkan dana SRC iaitu bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan terdapat kira-kira 631 nama pesalah rasuah disenaraikan dalam portal berkenaan.
Menerusi pangkalan data dikenali ‘Name and Shame’ itu, maklumat seperti nama dan gambar pesalah rasuah yang disabitkan bersalah oleh mahkamah akan dimuat naik bagi memberi kesedaran kepada orang ramai agar tidak melakukan kesalahan sama.
Malah, pangkalan data itu juga dikatakan digunakan oleh Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di negara ini untuk menyemak latar belakang pemohon visa yang mahu ke negara mereka. – UTUSAN










