Pastam tidak lepas enam pemain kebangsaan

Pastam tidak lepas enam pemain kebangsaan

AKRAMUDDIN Abdul Aziz dan Adam Adli Abd. Halim memegang Piala Emas Khir Johari yang dimenangi Melaka selepas majlis perjumpaan dan taklimat di sebuah hotel di Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Persatuan Sepak Takraw Melaka (Pastam) tidak akan melepaskan enam tonggak kebangsaan yang diikat menerusi kontrak setahun, menjelang saingan Liga Sepak Takraw (STL), Ogos ini.

Yang Dipertua Pastam, Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, mengikut perjanjian yang ditandatangani kesemua pemain, keutamaan mereka hanyalah bermain untuk Melaka.

“Melainkan jika Melaka tidak bermain atau menarik diri daripada bertanding di STL, barulah enam pemain itu bebas untuk mewakili mana-mana pasukan yang berminat.

“Namun, setakat ini Pastam tetap menyandarkan enam tonggak ini untuk Melaka melakar kejayaan menjuarai divisyen satu dan seterusnya layak antara enam pasukan ke Champions Cup pada November nanti.

“Jika ada kejohanan lain tidak disertai Melaka, pemain itu boleh bermain dengan pasukan lain dengan syarat mereka perlu memaklumkan terlebih dahulu dengan Pastam,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim di sebuah hotel di Banda Hilir di sini, semalam.

Enam pemain kebangsaan diikat kontrak ialah Zarif Marican Ibrahim Marican (tekong), Zaim Razali (apit kiri), Azlan Alias (apit kanan), Syahir Rosdi (tekong), Khairol Zaman Hamir Akhbar (apit kanan) dan Muqlis Borhan (apit kiri).

Tambah Akramuddin, enam pemain itu menjadi sandaran penting selepas mereka menjadi nadi kejayaan Melaka mengakhiri kemarau 39 tahun untuk merangkul gelaran juara Kejohanan Piala Emas Khir Johari di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Menurutnya, Pastam menyasarkan untuk menduduki dua tangga teratas divisyen satu yang secara automatik layak antara enam pasukan bersaing di Champions Cup.

“Saya tidak ambil peduli sindiran netizen berikutan kejayaan Melaka menjulang Piala Emas Khir Johari bergantung kepada pemain bukan kelahiran Melaka.

“Era sepak takraw sudah berubah. Kita lihat pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), mereka berjaya menjulang Piala Malaysia, Liga Super, Piala FA kerana pemain luar dari Johor,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN