Melaka yakin dominasi acara wusyu di Sarawak

Melaka yakin dominasi acara wusyu di Sarawak

KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengangkat tangan mengetuai bapa angkat, jabatan angkat dan anak angkat untuk Sukma Ke-21 di Sarawak di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sukan wusyu menjadi pertaruhan utama kontinjen Melaka dengan sasaran 11 pingat emas akan dibawa pulang pada Sukan Malaysia (Sukma) Ke-21 di Sarawak dari 17 hingga 24 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP. Shanmugam berkata, berdasarkan pencapaian Sukma Perak 2018 dan Kuala Lumpur pada 2022, Melaka berpotensi mendominasi acara yang akan berlangsung di Kuching nanti.

Menurutnya, wusyu menjadi pertaruhan tinggi dalam usaha kontinjen Melaka mencapai sasaran 20 pingat emas.

Beliau berkata, kontinjen Melaka bakal menurunkan 710 atlet dan pegawai dengan mengambil bahagian dalam semua 37 sukan dipertandingkan.

“Kita masih kekalkan sasaran kutipan 20 pingat emas, sama macam tahun sebelum ini, namun di Sukma 2022 kita hanya capai 17 pingat emas.

“Kali kita ada potensi yang lebih baik daripada tahun-tahun yang silam, di mana kita telah memulakan awal menyatukan jabatan angkat dengan bapa angkat untuk capai sasaran itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Bapa Angkat, Jabatan Angkat dan Anak Angkat Sempena Sukma Ke-21 Sarawak di Seri Negeri di sini, semalam.

Tambah Shanmugam, selain wusyu, acara lain yang menjadi pertaruhan adalah silat, muay Thai, skuasy, hoki lelaki, angkat berat, gimnastik dan renang.

“Pada temasya di Kuala Lumpur, kita kehilangan dua pingat emas apabila atlet renang tidak dapat bertanding kerana kurang sihat sehingga menjejaskan sasaran 20 pingat emas,” katanya.

Katanya, angkat berat turut menjadi sasaran apabila pemenang kategori 40 kilogram (kg) yang diraih Nurul Syasya Khairina Syamsur di Kuala Lumpur disenaraikan bertanding di Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN