PETALING JAYA: Pelari jarak jauh negara, Umar Osman dipilih untuk menyertai acara 400 meter lelaki di Kejohanan Olahraga Dunia yang akan berlangsung di Tokyo, Jepun dari 13 hingga 21 September ini melalui slot wildcard yang diberikan oleh Olahraga Malaysia (MA).
Presiden MA, Datuk Karim Ibrahim berkata, pemilihan Umar dibuat memandangkan tiada atlet negara yang berjaya melayakkan diri ke kejohanan tersebut secara merit.
“Atlet olahraga kebangsaan, Umar Osman telah terpilih untuk mewakili Malaysia dalam acara 400m lelaki. Dia kini memegang catatan terbaik peribadi 46.09 saat (s) yang juga merupakan rekod kebangsaan.
“Pemilihan dibuat berdasarkan pencapaian cemerlang Umar sepanjang tahun 2025, merangkumi prestasi konsisten, kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta potensi besar untuk menyerlah di pentas antarabangsa,” katanya.
Umar, 22, melakukan catatan terbaiknya musim ini di Kejohanan Olahraga Asia di Gumi, Korea Selatan pada Mei lalu apabila menamatkan larian 400m akhir dengan catatan 46.25s.
Dalam pada itu, Karim turut berharap dengan pemilihan Umar, atlet tersebut mampu mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
“MA yakin penyertaan Umar akan menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, di samping menyemarakkan semangat perjuangan atlet negara di pentas dunia,” katanya. – UTUSAN