PKR Pahang salur bantuan waris lima keluarga kebakaran

PKR Pahang salur bantuan waris lima keluarga kebakaran

LIMA sekeluarga yang maut dalam tragedi kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Dong, Raub pada awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PKR Pahang akan menyalurkan bantuan kepada waris lima sekeluarga yang maut dalam tragedi kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Dong, Raub pada awal pagi tadi.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, PKR Cabang Raub akan segera menyalurkan bantuan awal bagi meringan beban yang ditanggung oleh waris mangsa.

Kata beliau, fokus utama pihaknya adalah untuk memastikan kebajikan dan kelangsungan pendidikan kedua-dua anak mangsa yang masih belajar terus terbela dalam waktu yang sukar ini.

“Saya mewakili seluruh keluarga besar PKR Pahang ingin menzahirkan rasa dukacita yang amat mendalam atas tragedi kebakaran yang mengorbankan lima nyawa sekeluarga di Raub, pagi tadi.

“Tragedi ini merupakan satu kehilangan yang cukup besar bukan sahaja buat warga Raub, malah buat seluruh rakyat negeri Pahang. Kehilangan lima nyawa dalam satu keluarga secara serentak adalah satu ujian yang sangat meruntun jiwa,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Razam Taja Rahim berkata, lima mangsa membabitkan sepasang suami isteri dan tiga anak perempuan.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.44 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub tiba di lokasi pada pukul 4.15 pagi.

Keadaan api yang marak dengan cepat dan asap tebal dipercayai menjadi punca lima sekeluarga terperangkap dalam kebakaran rumah yang meragut nyawa mereka.

Ahmad Farhan yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, beliau mendoakan agar dua anak mangsa yang terselamat kekal cekal dalam menghadapi dugaan itu.

“Saya mendoakan agar dua anak mangsa yang terselamat yang kini masing-masing sedang menuntut di Kolej Matrikulasi Gambang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong diberikan ketabahan, kesabaran, dan kekuatan iman yang setinggi-tingginya.

“Kehilangan mengejut seluruh ahli keluarga tercinta merupakan satu trauma yang amat berat untuk dipikul,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×