HENGELO: Pelari jarak jauh Belanda, Femke Bol menguasai acara 400 meter (m) berpagar dengan bergaya apabila memecahkan rekod kejohanan di Kejohanan FBK, semalam.
Juara dunia, Bol mengekalkan momentum cemerlangnya dua minggu selepas mencatat pembukaan musim terpantasnya dalam acara 400m berpagar di Rabat dan kali ini hanya kurang 0.05 saat daripada catatan di kejohanan tersebut apabila menamatkan lariannya 52.51 saat (s).
“Saya berjaya, saya cipta rekod kejohanan. Sejujurnya, saya tidak fikirkan tentang masa tertentu sebelum perlumbaan, tapi saya memang mahu menang di depan penyokong sendiri.
“Awal perlumbaan bermula sangat baik, terutamanya dengan perubahan yang saya buat kebelakangan ini. Sudah tentu, saya rasa sakit dan keletihan di penghujung perlumbaan, tapi itu memang dijangka.
“Keputusan ini menunjukkan saya berada di landasan yang betul. Saya berlari lebih pantas daripada kebiasaan pada waktu ini dalam musim,” kata Bol, yang memperbaiki rekodnya sendiri iaitu 53.94s yang dicatat pada 2022.
Dalam pada itu, juara dunia dua kali dari Amerika Syarikat (AS), Chase Jackson turut mempamerkan permulaan musim yang hebat bagi acara lontar peluru.
Dia berjaya memperbaiki catatan terbaik dunia 20.54m yang dilakukan di Shanghai selepas melakukan lontaran sejauh 20.62m untuk memenangi emas manakala perak milik Jessica Schilder dari Belanda (20.16m) dan gangsa diraih Maggie Ewen dari AS (19.48m). – AGENSI