Keselamatan sempadan terjamin, penjenayah tidak sasarkan penduduk

Keselamatan sempadan terjamin, penjenayah tidak sasarkan penduduk

ADZLI Abu Shah memaklumkan perkembangan siasatan kes tembakan Komander AKPS Bukit Kayu Hitam pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tahap keselamatan orang awam di kawasan sempadan terutamanya Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam terkawal walaupun berlaku insiden tembakan terhadap Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, orang ramai tidak seharusnya bimbang dengan kejadian terbabit kerana penyerang tidak menyasarkan masyarakat setempat mahupun pelancong yang mahu ke Thailand.

“Penjenayah atau sindiket ini tidak menyasarkan penduduk di situ atau orang awam tetapi lebih kepada agensi penguat kuasa kerana tindakan tegas yang diambil telah memberikan kemudaratan dan kerugian kepada perniagaan haram mereka.

“Belum ada aduan daripada penduduk setempat tentang ugutan atau ancaman diterima mereka, malah suspek-suspek yang ditahan pun tinggal di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya bagaimanapun sentiasa mengutamakan keselamatan di sempadan terbabit dengan pelbagai tindakan telah diambil untuk mengetatkan kawalan.

Katanya, polis sendiri menempatkan seramai 141 pegawai serta anggota untuk menjaga ketenteraman awam, keselamatan bangunan dan petugas serta orang ramai di sekitar Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.

“Mereka bertugas selama 24 jam untuk memastikan keselamatan dengan pelbagai bentuk tugasan diatur di lapangan termasuk rondaan bermotosikal yang turut dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA) malah dengan kejadian ini kita ketatkan lagi kawalan.

“Pada masa sama polis pula sudah mewajibkan pemakaian jaket kalis peluru kepada petugas kami kerana kalau kita lihat ahli sindiket pun menggunakan senjata yang berbahaya tapi kita masih guna pistol,” katanya.

Beliau turut mengarahkan penggunaan senjata yang lebih berat oleh pasukan polis ketika bertugas di sempadan bagi memastikan mereka lebih yakin, selesa ketika bertugas dan tidak merasa terancam.

“Walaupun kes tembakan ini melibatkan AKPS tapi polis turut pandang serius keselamatan anggota kami dan agensi-agensi lain dan kita tak akan gentar, berundur walau setapak dengan insiden yang mungkin nak menakutkan pihak berkuasa, malah kita akan pastikan tindakan lebih tegas bagi memastikan aktiviti haram diatasi,” ujarnya.

Dalam kejadian pada pukul 5.40 pagi, kelmarin Proton X70 dipandu Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir ditembak dua das dari jarak satu meter oleh dua suspek yang menaiki motosikal. 

Beliau dalam perjalanan menunaikan solat Subuh di Masjid Al-Muhajirin Bukit Kayu Hitam dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Tujuh suspek termasuk seorang wanita warga Thailand diberkas polis susulan insiden itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN