Bagnaia harungi musim ‘rollercoaster’

Bagnaia harungi musim ‘rollercoaster’

ER 2025 - Pelumba Ducati Lenovo Team, Francesco Bagnaia (tengah) berjalan masuk ke pit selepas meraih petak pertama pada sesi kelayakan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Malaysia 2025 di Petronas Litar Antarabangsa Sepang di sini hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Francesco Bagnaia menyifatkan perjalanan kariernya musim ini ibarat ‘rollercoster’ selepas pelumba Ducati Lenovo Team itu menempah petak hadapan pada sesi kelayakan kelas utama MotoGP, Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.

“Sukar untuk saya jelaskan dengan kata-kata, seperti yang anda sendiri lihat, ia ibarat ‘rollercoaster. Saya gembira, tetapi, saya tidak mahu bertenang dan saya sedar petang ini sangat mencabar,” katanya kepada pemberita selepas sesi kelayakan berakhir.

Pelumba Itali itu yang mencatat masa sepusingan terpantas 1 minit 57.001 saat (s), buat kali ketiga berturut-turut menempah petak hadapan di Malaysia.

Bagnaia yang kini berada di kedudukan keempat keseluruhan dengan kutipan 274 mata, mengharungi musim 2025 dalam keadaan tidak menentu selepas prestasi turun, naik melandanya.

Tahun ini, dia hanya merangkul dua kemenangan dan tiga kali berada di petak hadapan dengan Marc Marquez telahpun dinobatkan selaku juara dunia di GP Jepun, bulan lalu.

Mengulas lanjut mengenai perlumbaan di Sepang, Bagnaia berkata, cuaca sangat panas dan amat penting untuk terus kekal tenang serta cuba memahami situasi perlumbaan.

“Tetapi pagi ini, kami telah melaksanakan tugas dengan baik. Kami cuba sesuatu yang berbeza dan sedikit sebanyak ia membantu, bukan untuk saya seorang, malah, buat kesemua pasukan Ducati kerana, semalam (kelmarin), kami lebih bermasalah.

“Jadi, amat penting untuk kami perbaiki kekurangan itu dan kami hanya perlu meneruskan prestasi baik ini,” katanya.

Sementara itu, Alex Marquez yang bernaung di bawah pasukan BK8 Gresini Racing MotoGP pula berada di kedudukan kedua dengan catatan masa sepusingan 1:57.017s, manakala, pelumba Pertamina Enduro VR46 Racing Team, Franco Morbidelli di tempat ketiga dengan lakaran masa 1:57.159s.

Alex kini dalam persaingan bagi mengekalkan kedudukannya di tangga kedua keseluruhan selepas mengumpul 379 mata dan jika dia berjaya berbuat demikian, maka, adik beradik Marquez akan mendominasi kedudukan satu, dua pada Kejuaraan Dunia, musim ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN