Terowong tutup punca Sungai Lembing suram

Terowong tutup punca Sungai Lembing suram

PINTU masuk ke Lombong Bijih Timah Sungai Lembing di Kuantan, Pahang ditutup sementara bagi kerja-kerja penyelenggaraan sekali gus menjejaskan kunjungan pelancong ke destinasi bersejarah itu. – UTUSAN/DIANA SURYA ABD. WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19 dan penutupan terowong bijih timah di Sungai Lembing sejak Februari 2021, dikenal pasti sebagai punca utama pekan bersejarah itu suram sehingga menjejaskan kehadiran pelancong serta ekonomi setempat.

Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Kuantan, Hani Syazani Kamarudin Arifin berkata, kedua-dua faktor berkenaan berlaku serentak dan memberi impak besar kepada keseluruhan ekosistem pelancongan di kawasan tersebut.

Katanya, tidak dinafikan sekatan perjalanan sepanjang PKP menyebabkan hampir tiada pelancong dapat berkunjung manakala penutupan terowong pula mengurangkan daya tarikan utama Sungai Lembing.

“Walaupun terdapat lokasi lain seperti Bukit Panorama, ia tidak dapat dikunjungi secara bebas kerana sekatan pergerakan pada waktu itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, tempoh penutupan tersebut memberi peluang kepada pihak berkuasa menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan tanpa gangguan pelawat.

“Pada masa sama, terowong bijih timah tersebut masih dalam proses baik pulih dan penyelenggaraan.

“Ia akan dibuka semula secepat mungkin dalam tempoh yang ditetapkan oleh pihak yang bertanggungjawab dalam kerja-kerja tersebut,” katanya.

Sementara itu katanya, apabila keadaan kembali pulih dan terowong dibuka semula, Sungai Lembing berpotensi menarik semula pelancong dengan kemudahan yang selamat dan selesa.

Katanya, walaupun memberi kesan jangka pendek, langkah itu penting bagi menjamin keselamatan pengunjung dan kelestarian sektor pelancongan di Sungai Lembing pada masa depan.

“Buat masa ini kesan terhadap ekonomi setempat begitu ketara apabila peniaga kecil termasuk pengusaha kedai makan, gerai dan penjual cenderamata kehilangan pelanggan hampir sepenuhnya.

“Pengusaha inap desa dan penginapan turut mengalami pembatalan tempahan secara besar-besaran manakala pemandu pelancong dan individu yang bergantung kepada sektor ini hilang sumber pendapatan dalam tempoh yang panjang.

“Keadaan itu menyebabkan aktiviti ekonomi di Sungai Lembing menjadi sangat perlahan, mungkin ini untuk sementara waktu sahaja. Selepas semuanya kembali pulih, suasana pekan ini kembali seperti dahulu dengan lebih banyak aktiviti menarik,” katanya.

Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan, Sungai Lembing, pekan lama yang pernah digelar ‘El Dorado Malaysia’ kini makin sunyi dan hilang seri khususnya sebagai sebuah destinasi pelancongan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN