PETALING JAYA: Pembenihan awan tertumpu di kawasan empangan sebagai langkah memastikan sumber air negara kekal mencukupi susulan cuaca panas yang melanda hingga penghujung Mac ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, pelaksanaan operasi itu dibuat berdasarkan permintaan daripada negeri-negeri yang terlibat khususnya bagi kawasan tadahan air.
Beliau berkata, setakat ini beberapa negeri telah memohon untuk melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan empangan masing-masing.
“Pembenihan awan akan dibuat sekiranya terdapat permintaan memandangkan tempoh musim hujan hanya berlaku antara penghujung Mac hingga Mei.
“Apabila Monsun Barat Daya bermula dari Jun hingga September, taburan hujan dijangka berkurangan.
“Operasi tersebut akan dilaksanakan dengan segera apabila keadaan atmosfera dijangka sesuai serta pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tersedia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Malaysia kini berdepan suhu antara 37 hingga 42 darjah Celsius sehingga berpotensi menjadi lebih tinggi susulan fenomena El Nino yang semakin ekstrem.
Dalam pada itu, Mohd. Hisham berkata, kehadiran awan berterusan serta hujan mampu membantu mengurangkan kesan cuaca panas yang melanda ketika ini.
“Puncak cuaca panas biasanya berlaku antara pertengahan Mac hingga pertengahan April namun kehadiran awan berterusan serta hujan dapat membantu meredakan keadaan dan mengurangkan kesan cuaca panas tersebut,” katanya lagi.-UTUSAN.









