PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya dituntut mencatat kemenangan ke atas Vietnam bukan sahaja demi mempertahankan maruah negara, malah sebagai bukti bahawa pasukan negara tidak bergantung kepada pemain warisan untuk mencapai kejayaan.
Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Pekan Ramli berkata, hanya dengan mendapatkan kemenangan sahaja mampu menjadi bukti Harimau Malaya berupaya bersaing di rantau Asia Tenggara tanpa bantuan pemain warisan.
“Selain maruah, apa yang saya nampak pemain kita perlu dapatkan kemenangan untuk buktikan kepada Vietnam bahawa tanpa tujuh pemain warisan sebelum ini pun kita boleh mengatasi mereka.
“Kalau ikutkan, tahap kita dengan Vietnam tidaklah jauh mana pun sehingga kita perlu melanggar peraturan dengan menurunkan pemain tidak layak beraksi,” katanya.
Dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027, skuad Harimau Malaya dipotong enam mata susulan menurunkan pemain tidak layak ketika menentang Nepal dan Vietnam.
Keputusan itu membolehkan Vietnam mengesahkan slot ke pusingan akhir kejohanan dan mengulas lanjut, Pekan mengakui pertemuan esok bakal sarat dengan emosi kerana ia melibatkan maruah kedua-dua negara.
“Pada saya, perlawanan Malaysia menentang Vietnam penuh dengan emosi. Skuad kebangsaan nak menang sebab nak buktikan kemampuan sebenar tanpa pemain warisan dan Vietnam juga nak menang sebab mereka sudah kalah dengan kita sebelum ini.
“Walaupun aksi itu tidak dikira tapi Vietnam mesti nak tutup kempen kelayakan ini dengan kemenangan, nak pula bermain di laman sendiri. Jadi, aksi ini pasti sarat dengan emosi,” katanya.
Malaysia dijadual menentang Vietnam di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, esok. – UTUSAN










