Md. Akid tepati ramalan muncul juara CP150

Md. Akid tepati ramalan muncul juara CP150

VP. Shanmugam menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori CP150 pada sirkuit pertama Kejuaraan Petronas MAM Malaysian Cub Prix di Jasin, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Md. Akid Aziz membuka langkah bergaya mempertahankan gelaran juara keseluruhan yang diraihnya tahun lalu apabila muncul johan kategori CP150 pada sirkuit pertama Kejuaraan Petronas MAM Malaysian Cub Prix di sini, hari ini.

Hujan yang turun pada sesi kelayakan tidak langsung menyukarkan pelumba Petronas Sprinta Yamaha–CKJ Racing itu mendahului sejak dari awal hingga ke garisan penamat.

Pelumba berasal dari Kuala Lumpur berusia 26 tahun itu mencatat kepantasan 17:17.228 saat daripada 20 pusingan.

Md. Akid berkata, kejayaan menjuarai pusingan pertama adalah permulaan yang baik untuknya dalam mengharungi baki sembilan lagi pusingan.

“Litar agak lembap dan saya berhati-hati terutama sewaktu mengambil selekoh, alhamdulillah sejak dari awal saya mendahului hingga ke garisan penamat.

“Saya tak nak mendabik dada di pusingan ini kerana berbaki sembilan lagi pusingan, sudah pasti saingan saya akan cuba untuk menyaingi saya.

“Yang penting saya perlu mengekalkan momentum kerana saya berhasrat untuk mempertahankan gelaran CP150 tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas tamat saingan.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP. Shanmugam.

Sementara itu, pelumba Honda Estremo Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar yang menduduki tempat kedua berpuas hati dengan keputusan tersebut.

Dia yang menduduki tempat ketiga keseluruhan tahun lalu berazam memperbaiki kedudukan serta meletakkan sasaran muncul juara keseluruhan tahun ini.

“Litar yang lembap membantutkan usaha saya untuk menyaingi Md. Akid yang mendahului sejak dari awal perlumbaan,” katanya.

Sementara itu seorang lagi pelumba daripada Petronas Sprinta Yamaha–CKJ Racing, Ahmad Afif Amran menduduki tempat ketiga dengan kepantasan 17:21.083 saat.

Dalam perlumbaan akhir kategori Wira KBS, sebanyak 12 pusingan dimenangi Md. Akif Abdullah daripada Honda KC Racing mencatat kepantasan 11.26.101 saat.

Md. Adib Arsyad Md. Hisam daripada Yamaha Estremo 27 Racing menduduki tempat kedua dengan kepantasan 11:26.333 saat dan tempat ketiga menjadi milik Farres Putra Md. Fadhil daripada Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN