Pegawai AS didakwa punca kelewatan Taremi sertai skuad Iran

Pegawai AS didakwa punca kelewatan Taremi sertai skuad Iran

Mehdi Taremi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEATTLE: Persekutuan Bola Sepak Iran (FFIRI) mendakwa pegawai Amerika Syarikat (AS) telah menimbulkan masalah kepada penyerang utama negara itu, Mehdi Taremi dan penolong jurulatih, Saeed Alhoei sehingga menyebabkan kelewatan perjalanan mereka ke Seattle bagi menghadapi Mesir dalam aksi Piala Dunia 2026, hari ini.

Menurut laporan agensi berita Iran, ISNA, kedua-dua individu berkenaan masih belum menyertai semula skuad kebangsaan yang kini berada di Seattle sebagai persediaan menghadapi perlawanan penting tersebut pada hari ini.

Insiden itu berlaku hanya beberapa hari selepas pihak berkuasa AS bersetuju melonggarkan sekatan perjalanan yang dikenakan ke atas delegasi Iran susulan bantahan Tehran serta pihak pasukan yang mendakwa prosedur kemasukan yang ketat menjejaskan persiapan mereka sepanjang kejohanan.

Bagaimanapun, punca sebenar kelewatan terbaharu itu masih belum dapat dipastikan, manakala pihak berkuasa AS belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut.

Sebelum ini, Iran yang menjadikan Tijuana, Mexico sebagai pangkalan sepanjang kejohanan, hanya dibenarkan memasuki AS sejurus sebelum perlawanan dan perlu meninggalkan negara itu dalam tempoh singkat selepas aksi berakhir.

Jurulatih Iran, Amir Ghalenoei sebelum ini menyifatkan syarat perjalanan yang dikenakan sebagai tidak adil dan mendakwa perjalanan berulang-alik merentasi sempadan menyebabkan pemain mengalami keletihan.

Minggu ini, pihak berkuasa AS memberikan kelonggaran dengan membenarkan skuad Iran tiba di Seattle dua hari lebih awal sebelum perlawanan menentang Mesir, sekali gus memberi lebih ruang kepada pasukan untuk membuat persiapan.

Hubungan diplomatik yang tegang antara Washington dan Tehran turut menjadikan penyertaan Iran dalam kejohanan itu lebih sensitif dari sudut politik, dengan pasukan tersebut berdepan kawalan keselamatan serta sekatan perjalanan yang lebih ketat sepanjang kempen Piala Dunia kali ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN