McGinn akui kekalahan rugikan Scotland

McGinn akui kekalahan rugikan Scotland

John McGinn
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
MIAMI: Pemain tengah Scotland, John McGinn mengakui peluang pasukannya untuk mara ke pusingan 32 Piala Dunia 2026 semakin sukar selepas tewas 0-3 kepada Brazil dalam aksi Kumpulan C di Miami, semalam.
Brazil membuka tirai jaringan menerusi Vinicius Junior yang memanfaatkan kesilapan pertahanan sebelum pemain itu menggandakan jaringan sebelum tamat separuh masa pertama.
Matheus Cunha kemudian melengkapkan kemenangan bergaya Brazil pada separuh masa kedua.
Kekalahan tersebut menyaksikan Scotland kini berada di kedudukan ketiga kumpulan di belakang Brazil dan Maghribi yang menghuni tangga kedua dengan tiga mata, sekali gus memaksa mereka bergantung kepada peluang tipis untuk mara sebagai antara lapan pasukan tempat ketiga terbaik dalam saingan 48 pasukan itu.
“Kami kurang dari segi kualiti malam ini, namun kami telah memberikan segalanya di atas padang.
“Para pemain kini benar-benar keletihan. Kami sudah menyukarkan peluang kami sendiri. Ia memang nampak tidak begitu berkemungkinan sekarang, tetapi kami akan tunggu dan lihat,” katanya.
Mengulas mengenai kesilapan pertahanan yang dilakukan Scott McKenna sehingga membuka ruang kepada gol pertama Brazil, McGinn berkata, pada tahap tertinggi, setiap kesilapan akan dihukum.
“Ini peringkat tertinggi bola sepak. Jika melakukan kesilapan, anda akan dihukum. Kami sedar perlu memperbaiki kelemahan ini,” katanya.
Dalam masa sama, pemain Aston Villa itu turut merakamkan penghargaan kepada penyokong Scotland yang hadir memberikan sokongan padu di Boston dan Miami.
“Ketika ini ia masih terasa pahit, tetapi kami amat menghargai sokongan para peminat. Kami tahu bukan mudah untuk mereka hadir di sini, namun mereka luar biasa. Jika masih ada peluang, kami akan terus berjuang,” katanya. – AFP
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN