PETALING JAYA: Penggunaan pengadil luar dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) bukan satu jaminan mutu pengadilan tidak lagi menjadi perdebatan dalam kancah bola sepak negara.
Bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Subkhiddin Mohd Salleh berkata, tiada pengadil yang sempurna dalam mengadili perlawanan termasuk dari luar negara.
Subkhiddin juga menolak tanggapan kehadiran pengadil dari luar negara atau dari badan bebas mampu menjamin ‘zero mistake dalam mana-mana perlawanan.
“Kalau ambil contoh Arab Saudi, mereka guna pengadil luar tetapi tetap berlaku kesilapan. Bezanya, mereka ini datang sebagai ‘business’, kerja sekejap, kemudian pulang.
“Jadi siapa tanggung? FA negara tersebut juga yang menanggung,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Terdahulu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhasrat membawa cadangan penubuhan badan pengadil bebas melibatkan pengadil profesional kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk pertimbangan lanjut.
Cadangan itu merupakan antara perkara utama yang dibangkitkan dalam sesi meja bulat bersama MFL dan wakil 13 kelab yang berlangsung Rabu lalu, sekali gus mencerminkan kesungguhan semua pihak dalam meningkatkan mutu pengadilan liga.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd. Shazli Shaik Mohd berkata, pihaknya memandang serius setiap pandangan yang dikemukakan oleh rakan kongsi liga demi memastikan kualiti pertandingan terus dipertingkat.
Subkhiddin turut menegaskan, jika Malaysia mahu membawa masuk pengadil luar, ia perlu dilakukan dengan pendekatan pembangunan, bukan sekadar penyelesaian jangka pendek.
“Kalau nak belajar, kena duduk lama di sini. Bukan datang satu perlawanan kemudian balik. Kalau sebulan di sini, barulah ada proses pembelajaran,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut memberi amaran mengenai isu kos yang bakal meningkat jika pengadil luar digunakan secara meluas, termasuk bayaran penerbangan kelas perniagaan dan penginapan yang tinggi.
Lebih membimbangkan, katanya, jika kos pengadil ditanggung oleh pasukan tertentu, ia boleh menimbulkan unsur berat sebelah dalam perlawanan.
“Kalau JDT atau mana-mana pasukan bayar, pengadil akan nampak ‘bias’. Sebab itu kos mesti di bawah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), bukan kelab,” tegasnya.-UTUSAN










