GUA MUSANG: Sekatan di simpang Bereglag dan Cerkep yang dibina oleh masyarakat Orang Asli sebagai tindakan mempertahankan tanah dan wilayah adat mereka daripada aktiviti pembalakan, dirobohkan semalam pada hari kesembilan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Tanah dan Wilayah Adat Pos Simpor, Nur Mohd. Syafiq Dendi Abdullah berkata, sekatan yang bermula 27 April lalu melibatkan 39 penduduk itu dirobohkan Jabatan Perhutanan bersama agensi lain.
Katanya, tindakan itu dilakukan tanpa sebarang makluman awal atau rundingan dengan penduduk.
“Perkara ini amat mengecewakan kerana kawasan tersebut merupakan tanah adat kami yang mempunyai nilai sejarah, sumber kehidupan serta kepentingan budaya kepada komuniti kami.
“Sebarang tindakan dalam kawasan tanah dan wilayah adat sepatutnya melalui proses perbincangan dan persetujuan bersama komuniti tempatan,” katanya.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, masyarakat Orang Asli Pos Simpor bertindak mendirikan sekatan, susulan kebimbangan terhadap aktiviti pembalakan yang semakin meruncing.
Nur Mohd. Syafiq memberitahu, pihaknya menuntut penjelasan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung tindakan tersebut.
Katanya, sekatan itu menjadi perlambangan perjuangan Orang Asli dalam mempertahankan tanah serta wilayah adat daripada pencerobohan luar.
Ujarnya, tindakan sedemikian bukan kali pertama dibuat untuk mencerminkan kegusaran berterusan terhadap aktiviti pembalakan yang masih diteruskan.
Menurutnya, walaupun bantahan telah disuarakan, syarikat terlibat tetap menjalankan operasi di kawasan Sungai Bereglag meliputi kira-kira 99 hektar.
“Kami tegas membantah sebarang aktiviti pembalakan dalam kawasan tanah dan wilayah adat Pos Simpor kerana kesannya amat besar,” katanya. – UTUSAN










