TEHERAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi tiba di Beijing pada pagi Rabu menjelang rundingan yang dijadualkan dengan diplomat tertinggi China, Wang Yi, menurut agensi berita.
“Seyyed Abbas Araghchi tiba di Beijing bagi mengetuai delegasi diplomatik.
“Sepanjang lawatan ini, Menteri Luar negara kita akan membincangkan hubungan dua hala serta perkembangan serantau dan antarabangsa dengan rakan sejawatnya dari China,” lapor agensi berita Fars.
China merupakan pelanggan utama minyak Iran, sekali gus menentang sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ketika Washington berusaha menyekat sumber pendapatan Teheran.
Lawatan Araghchi itu berlangsung menjelang kunjungan Presiden AS, Donald Trump, ke China pada 14 hingga 15 Mei untuk bertemu Presiden, Xi Jinping, lawatan yang sebelum ini ditangguhkan selepas Washington dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio pada Selasa menggesa China supaya memberi tekanan kepada Araghchi agar melonggarkan cengkaman Teheran terhadap Selat Hormuz, laluan yang pernah menyalurkan kira-kira satu perlima minyak dunia.
“Saya berharap pihak China memberitahu Araghchi apa yang perlu diberitahu, iaitu tindakan mereka di selat itu menyebabkan mereka semakin terasing di peringkat global,” kata Rubio kepada wartawan.-AFP









