Hak bukan sesuatu yang perlu diminta- Fatin Afeefa - Utusan Malaysia

Hak bukan sesuatu yang perlu diminta- Fatin Afeefa

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pempengaruh, Fatin Afeefa, meluahkan rasa syukur selepas mahkamah memutuskan peningkatan nafkah bulanan serta penanggungan penuh yuran persekolahan anaknya oleh bekas suami, Adam Shahz.

Menurut Fatin, keputusan tersebut membuktikan bahawa hak seorang anak tidak seharusnya diminta, sebaliknya wajib ditunaikan oleh pihak yang bertanggungjawab.

“Hak sentiasa ada, bukan sesuatu yang perlu diminta. Kini, ia telah ditunaikan. Mahkamah telah memutuskan bahawa nafkah bulanan dinaikkan dan yuran sekolah ditanggung sepenuhnya (oleh bekas suami).

“Ia tidak lagi ditanggung oleh ibu seorang sahaja. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah Yang Maha Melihat lagi Maha Adil,” katanya menerusi satu perkongsian di media sosial semalam.

Selain itu, menerusi perkongsian sama, Fatin mengakui perjalanan untuk mendapatkan keadilan itu bukan sesuatu yang singkat, malah memakan masa bertahun-tahun dengan pelbagai cabaran.

“Tiga tahun bukanlah tempoh yang sekejap. Dari saat mengandung sehingga anak bongsu berusia dua tahun, saya berulang-alik ke mahkamah.

“Saya kekal bertahan. Saya berjuang. Demi anak perempuan saya, Ivy. Hari ini, mahkamah sendiri menyatakan bahawa dia (bekas suami) mampu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fatin turut merakamkan penghargaan kepada suaminya, Aliff Awang, yang disifatkan sebagai seorang bapa yang menjalankan tanggungjawab tanpa mengharapkan pujian.

“Ini juga sebagai tanda penghargaan buat suami saya. Terima kasih kerana menjadi seorang bapa yang tampil memikul tanggungjawab dalam diam, melakukan apa yang perlu demi Ivy tanpa pernah mengharapkan penghargaan. Saya akan sentiasa menghargai kamu, sayang,” katanya.

Luahan tersebut mendapat perhatian warga maya yang rata-rata menyokong ketegasan beliau dalam memperjuangkan hak anak, selain memuji kesabarannya sepanjang melalui proses perundangan.

Untuk rekod, Fatin pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Adam Shahz pada 21 Disember 2013.

Rumah tangga mereka bertahan selama kira-kira empat tahun sebelum sah bercerai pada 30 Mei 2017.

Melalui perkahwinan ini, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Ivy Herra Sophia.

Fatin kembali mendirikan rumah tangga dengan usahawan Aliff Awang atau dikenali sebagai Opai  pada 30 Disember 2022 dan hasil perkahwinan ini mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN