MFL tunggu semakan FIB

MFL tunggu semakan FIB

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nasib Perak FC, Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC) dan Kelantan Darul Naim (KDN) FC dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) bakal terjawab hari ini.

Kedudukan keempat-empat pasukan terbabit akan diputuskan dalam mesyuarat First Instance Body (FIB) selepas proses permohonan Lesen Kebangsaan berakhir hari ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, semua pasukan ketika ini masih komited untuk bersaing dalam Liga Super dan sedang menyelesaikan urusan pelesenan kelab.

Katanya, ia termasuk berkaitan dengan status Perak FC yang dilaporkan bersedia untuk menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menurut Shazli, pihaknya sentiasa berusaha untuk mencari jalan bagi membantu pasukan-pasukan yang berdepan sebarang masalah.

“Kita mengharapkan agar semua kelab mampu dan berjaya memenuhi semua kriteria dan lulus pelesenan kelab.

“Kita (MFL) pun kerap berjumpa dengan beberapa pemilik kelab untuk kita dapat tahu apa isu yang dihadapi dan apa pertolongan yang kita boleh berikan.

“Berkenaan status Perak FC, ia akan diumumkan selepas selesai proses permohonan Pelesenan Kelab hujung bulan ini yang akan diputuskan oleh FIB,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Pada Sabtu lalu, media melaporkan Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi mengesahkan skuad The Bos Gaurus terpaksa menarik diri daripada saingan Liga Super musim depan kerana berdepan kemelut kewangan.

Azim dilaporkan berkata, pihaknya sudah melakukan yang termampu untuk membangunkan pasukan itu termasuk membelanjakan hampir RM40 juta sejak tiga tahun lalu.

Selain Perak FC yang telah menyatakan hasrat untuk tidak bertanding di Liga M musim depan, nasib sama dipercayai bakal menimpa kelab-kelab lain antaranya Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sri Pahang dan Kelantan Darul Naim (KDN) FC, berikutan masih bergelut dengan masalah tunggakan gaji dan kewangan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN