MFL ligat cari penaja Liga M

MFL ligat cari penaja Liga M

Ketua Pegawai Eksekutif HLM Takaful, Mohd. Asri Omar memegang plak perjanjian yang telah ditandatangani bersama Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam (tiga dari kiri) yang turut disaksikan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan (empat dari kiri) dan Pengerusi HLM Takaful, Martin Giles Manen (lima dari kanan) pada Majlis Menandatangani Rakan Kongsi Takaful antara Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLM Takaful) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi liga bola sepak musim 2024/2025 yang berlangsung di Sofitel Damansara di sini, semalam. Gambar; MUHAMAD IQBAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sedang giat menyasarkan 15 syarikat korporat sebagai rakan penaja bagi menampung kos operasi Liga Malaysia (Liga M) pada musim 2024-2025.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, Hong Leong MSIG (HLM) Takaful menjadi rakan penaja terbaharu menjadikan mereka sebagai syarikat penaja ke-12. 

“Kita ada 12 penaja yang telah sah untuk menaja. Lagi tiga masih berada dalam rundingan. Kami fikir sebaik sahaja liga bermula kita akan ada 13 penaja, dua lagi akan masuk kemudian kerana ada proses perundangan yang perlu kami hormati. 

“Diharapkan musim ini ada 15 penaja. Untuk tajaan musim baharu ini, enam syarikat telah memilih untuk kekal bersama kami (daripada musim lalu) manakala tujuh lagi tidak meneruskan tajaan. 

“Enam penaja baharu yang dibawa masuk pula tidak pernah terlibat dengan sukan. Jadi, harapan besar kami untuk menjadi peneroka kepada jenama baharu atau syarikat korporat dalam sektor sukan,” katanya.

Stuart ditemui pemberita selepas majlis menandatangani penajaan bersama HLM Takaful di sini semalam yang turut dihadiri Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dan Pengerusi HLM Takaful, Martin Giles Manen.

Sementara itu, Martin percaya kerjasama berkenaan dapat memberi situasi menang-menang kepada kedua-dua belah pihak.

“Menerusi tajaan ini kami dapat mempromosikan jenama kami dengan lebih meluas. Penting untuk kami mendidik masyarakat terutamanya golongan muda untuk memiliki perlindungan diri.

“Saya percaya dengan tajaan ini kami dapat berinteraksi dengan lebih baik bersama masyarakat menerusi reruai yang dibuka di venue perlawanan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN