fbpx

Jordi, Aiman pemain Liga M paling mahal

JORDI Amat kekal pemain termahal Liga Malaysia.

PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) berada dalam kelas tersendiri dan dilihat sukar digugat daripada pelbagai aspek oleh mana-mana pasukan Liga Super musim ini.

Lapan daripada 12 pemain termahal Liga Malaysia (Liga M) didominasi oleh juara sembilan kali berturut-turut Liga Super itu.

Kemasukan beberapa pemain import yang bakal mewarnai Liga M musim 2023 turut mengubah nilai pasaran dan terdapat peningkatan berbanding tahun 2022.

Menerusi laman sesawang ter­kenal, transfermarkt.com, kedudukan teratas pemain termahal Liga M masih kekal menjadi milik pertahanan JDT, Jordi Amat dengan nilai RM4.67 juta, sekali gus meneruskan penguasaan status tersebut yang pernah dipegang beberapa pemain Harimau Selatan sebelum ini.

Lima slot teratas juga diisi skuad kendalian Esteban Solari itu dengan Fernando Forestieri menjadi pemain kedua termahal pada nilai RM3.97 juta.

ARIF AIMAN HANAPI

Dua pemain import baharu mereka iaitu Oscar Arribas dan Juan Muniz masing ma­sing bernilai RM2.33 juta dan ‘mesin gol’ yang meledak 29 gol dalam saingan Liga Super 2022, Bergson da Silva berada di tangga kelima dengan nilai sama.

Dalam pada itu, pe­nyerang baharu Kedah Darul Aman (KDA FC), Willian Lira menjadi ‘muka baharu’ dalam senarai 10 pemain termahal Liga M iaitu bernilai RM2.1 juta apabila nilai pasaran pemain berkenaan meningkat sebanyak RM466,000.

WILLIAM LIRA

Sementara itu, tiga pemain berkongsi tanda harga yang sama pada nilai RM1.86 juta iaitu penyerang baharu Kuching City, Sirozhiddin Kuziev; seorang lagi penyerang baharu KDA FC, Ebenezer Assifuah serta bintang muda Harimau Selatan, Arif Aiman Hanapi.

Dengan nilai tersebut juga menyaksikan Arif Aiman yang juga Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2022 (ABK22) itu muncul sebagai pemain Malaysia termahal.

Melengkapkan senarai 12 pemain termahal Liga M, adalah dua lagi pemain JDT, Corbin Ong dan Matt Davies (RM1.74 juta) dan nilai itu turut dikongsi bersama pemain import baharu Selangor FC, Noor Al Rawabdeh.

SENARAI PEMAIN TERMAHAL LIGA M 
Jordi Amat (JDT) RM4.67 juta
Oscar Arribas (JDT) RM2.33 juta
Juan Muniz (JDT) RM2.33 juta
Bergson da Silva (JDT) RM2.33 juta
Willian Lira (KDA FC) RM2.1 juta
Arif Aiman Hanapi (JDT) RM1.86 juta
Sirozhiddin Kuziev (Kuching City) RM1.86 juta
Ebenezer Assifuah (KDA FC) RM1.86 juta
La Vere Corbin Ong (JDT) RM1.74 juta
Matt Davies (JDT) RM1.74 juta
Noor Al Rawabdeh (Selangor FC) RM1.74 juta

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN