PETALING JAYA: Boleh diselamatkan atau bakal tersingkir?
Hari ini tarikh akhir buat Perak FC menyelesaikan kemelut gaji yang melanda pasukan, dan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam mengesahkan sehingga semalam, belum menerima bukti bayaran atau pun persetujuan penyelesaian daripada Bos Gaurus.
“Buat masa ini, kami belum menerima sebarang maklum balas daripada Perak FC buat masa ini. Jadi, kami harap esok (hari ini) akan ada (maklum balas Perak FC).
“Kami akan memberi maklumkan jika ada sebarang maklumat daripada pasukan Perak FC, harap yang terbaik,” kata Stuart kepada Utusan Malaysia.
Semalam, proses jual beli Perak FC antara Impact Media & Communication Sdn. Bhd (IMC) dengan JR Resources yang sepatutnya dijalankan sebelah pagi ditangguhkan ke malam.
Sekalipun perjanjian dimeterai, namun untuk melunaskan hutang RM11 juta amat mustahil, namun persetujuan penyelesaian daripada pemilik baharu satu-satunya ‘jalan’ untuk menyelamatkan Bos Gaurus.
Pada 1 April lalu, pemotongan tiga mata dikenakan ke atas Perak kerana kegagalan melunaskan pembayaran gaji berdasarkan bagi semua tunggakan setakat November 2021.
Perak FC diberi peluang sehingga 14 April untuk menyelesaikan kemelut, namun apabila pengurusan masih gagal menjelaskan semua tunggakan, Badan bebas, First Instance Body (FIB) tiada pilihan dan terpaksa memotong enam lagi mata.
Sekiranya bukti bayaran atau persetujuan penyelesaian masih tidak diserahkan kepada MFL hari ini, maka esok Perak akan dibawa ke Jawatankuasa FIB dan Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk tindakan lanjut.
Perak FC berada dalam situasi bahaya kerana hukuman lebih berat akan dikenakan termasuk penarikan lesen dan penyingkiran dari liga.
Masalah yang dihadapi Perak FC agak rumit kerana mengakibatkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tidak membenarkan mereka menandatangani pemain baharu, sama import atau pemain tempatan. – UTUSAN OLINE