PETALING JAYA: Ratu berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri kini menumpukan perhatian kepada persediaan fizikal selepas faktor berat badan menjejaskan prestasinya musim ini.
Ketua Jurulatih Berbasikal Trek Kebangsaan, Harnizam Basri berkata, isu berat badan Izzah menjadi musuh utama pelumba berusia 22 tahun itu menjelang musim 2026, termasuk Sukan Asia dan Komanwel.
“Kita akan semak balik pelan gim dan pemakanan Izzah supaya dia bersedia menghadapi cabaran lebih besar musim depan.
“Jadi saya ambil semua kelemahan dan kekalahan musim ini sebagai pengajaran untuk mempertingkatkan prestasi dia untuk tahun depan dan perlumbaan seterusnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Izzah menutup musim 2025 dengan rasa kecewa selepas tersingkir awal dalam acara keirin wanita pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Santiago, Chile, bulan lalu.
Menurut Harnizam, kekalahan di Santiago banyak dipengaruhi oleh kurang agresif pada pusingan pertama dan lambat membuat pecutan pada dua selekoh terakhir kerana badan masih penat daripada perlumbaan berterusan.
“Berat badan Izzah mencatat penurunan yang ketara kalau hendak dibandingkan dengan tahun lepas. Jadi sekarang kami akan pantau pemakanan dan pelan gim Izzah untuk mencapai sasaran berat badan yang ideal,” katanya.
Pelumba kelahiran Kedah itu tidak akan menyertai Sukan SEA Thailand kerana penganjur tidak menganjurkan acara keirin dan pecut wanita, sekaligus memberi ruang untuk fokus kepada pemulihan fizikal dan persiapan strategik.
Izzah menegaskan walaupun kecewa menamatkan musim dengan prestasi kurang memuaskan di kejohanan dunia, beliau bertekad memperbaiki kekuatan fizikal dan taktikal bagi memastikan musim 2026 lebih cemerlang. – UTUSAN










