Manchester United tendang Liverpool - Utusan Malaysia

Manchester United tendang Liverpool

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Sepakan bebas menakjubkan Bruno Fernandes menambah derita Liverpool apabila membantu Manchester United menyingkirkan musuh ketat mereka 3-2 pada pusingan keempat Piala FA di Old Trafford sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan bergelut untuk mencipta peluang ketika terikat 0-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris minggu lalu.

Perlawanan hari ini bagaimanapun lebih menarik dengan United dan Liverpool saling berbalas serangan, sebelum anak-anak buah Klopp ditunjukkan jalan keluar.

Kekalahan Reds menambah tekanan pengurus mereka, Klopp yang masih dibayangi kekalahan memalukan kepada Burnley dalam aksi Liga Perdana, Jumaat lalu.

Penyandang juara Liga Perdana itu juga mengharungi lima perlawanan liga tanpa kemenangan dan kini ketinggalan enam mata di belakang United dalam perebutan gelaran.

MOHAMED Salah meledak dua gol tapi tidak cukup untuk menyelamatkan Liverpool.

Klopp menurunkan barisan terkuat hari ini dalam usaha memastikan nasib malang tidak lagi menimpa pasukannya.

Semua tampak berjalan baik di awal permainan apabila Mohamed Salah meletakkan Liverpool di depan pada minit ke-18.

Begitupun United membalas dengan pantas menerusi gerakan cantik Mason Greenwood, lapan minit kemudian.

Memasuki babak kedua, Red Devils menggandakan asakan sebelum Marcus Rashford meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-48.

Perlawanan menjadi semakin menarik apabila Salah menyamakan kedudukan 2-2 di minit ke-58 selepas melakukan rembatan rendah di celah kaki penjaga gol, Dean Henderson.

Melihat Liverpool melancarkan serangan bertali arus ke kubu mereka, pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer membawa masuk Bruno Fernandes.

Bintang tengah Portugal itu membawa impak besar apabila menyempurnakan sepakan bebas yang cantik untuk jaringan kemenangan United pada minit ke-78.

United kini akan menentang West Ham pada pusingan kelima bulan depan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya