Selangor tawar Sumareh RM70,482? - Utusan Malaysia

Selangor tawar Sumareh RM70,482?

Mohamadou Sumareh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketika banyak mata tertumpu kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kontroversi Mohamadou Sumareh yang ‘tawar hati’ dengan Pahang, hakikatnya Selangor rupanya yang cuba memancing bintang naturalisasi negara itu.

Perkara itu didedahkan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi perkongsian beberapa keping gambar berkaitan tawaran kontrak dari Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menyaksikan Sumareh ditawarkan gaji AS$17,000 (RM70,482) sebulan tidak termasuk bonus serta elaun tambahan dalam media sosial.

Beliau turut memuat naik gambar perbualan Sumareh menerusi aplikasi Whatsapp bersama Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon yang meminta FAS menaikkan gaji kepada AS$20,000 (RM82,171) sebulan sekiranya mahu dia bersama Red Giants.

Kontrak yang bakal ditawarkan kepada Sumareh adalah selama dua musim bermula 21 Januari 2021 hingga 20 Januari 2023.

Pengarah Teknikal FAS dari Jerman, Micheal Feictenbeiner turut berhubung dengan Sumareh dan menyatakan minat untuk membawa pemain itu ke Shah Alam dan beliau yakin pemain kelahiran Gambia itu amat sesuai dengan corak permainan skuad Selangor.

“Hello Sumareh, saya Micheal TD (Pengarah Teknikal) Selangor. Saya mahu berhubung dengan awak (Sumareh) secara terus dan saya gembira sekiranya kita dapat bekerjasama pada musim depan.

“Kamu amat sesuai dengan Selangor dan saya berjanji, kami boleh tingkatkan prestasi kamu menjadi antara penyerang terbaik di negara ini!.

“Kalau kamu ada apa-apa pertanyaan boleh hubungi saya bila-bila masa. Jumpa lagi,” katanya yang juga bertindak selaku jurulatih Selangor II.

Mesej itu dibalas oleh Sumareh yang mengakui falsafah permainan bola sepak Selangor cukup baik.

“Hello jurulatih Micheal. Sejujurnya saya suka akan gaya permainan dan falsafah bola sepak pasukan dan sebab itu saya gembira tengok Selangor dan saya suka untuk bekerjasama.

“Saya akan berhubung dengan pihak pengurusan dan harap semuanya berjalan lancar,” kata Sumareh.

Bagaimanapun, hasrat FAS gagal apabila Sumareh memilih menyertai kelab Thailand, Police Tero pada musim depan.

Sumareh sebelum ini telah mencetuskan kontroversi apabila meninggalkan pasukan Pahang tanpa memaklumkan kepada pihak pengurusan serta tidak menjalani latihan pada awal Ogos.

Dia yang masih mempunyai kontrak dengan skuad Tok Gajah sehingga 2022 mengambil tindakan keluar daripada pasukan Pahang kerana dikatakan tidak dibayar gaji selama beberapa bulan sehingga klausa 8.7 diaktifkan.

Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dalam satu kenyataan rasmi menafikan Sumareh tidak dibayar gaji dan PBNP sedia mengheret pemain itu ke Jawatankuasa Status FAM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya