BATC: Malaysia mudah benam Brunei 5-0

BATC: Malaysia mudah benam Brunei 5-0

Aksi pemain badminton kebangsaan, Ng Tze Yong ketika menentang pemain pasukan Brunei, Kah Kit Kan ketika acara badminton lelaki perseorangan dalam Kejohanan Badminton Berkumpulan Asia 2024 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini. GAMBAR - AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Skuad lelaki negara tidak perlu mengeluarkan peluh untuk membenam Brunei 5-0 dalam aksi pertama Kumpulan D pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Pusat Konvensyen Setia City, dekat sini, hari ini.

Malaysia yang mempertaruhkan Ng Tze Yong sebagai perseorangan pertama melakar kemenangan mudah ke atas wakil Brunei, Kan Kah Kit 21-7, 21-11 dalam masa 23 minit.

Pemain yang menghuni ranking No. 15 dunia itu, bulan lalu, ditimpa kecederaan belakang sewaktu beraksi pada pusingan pertama Terbuka Malaysia.

Namun, menyaksikan persembahan anak muda berusia 23 tahun itu, dia kini kelihatan semakin hampir mendapatkan kembali kecergasannya 100 peratus.

Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan, Tze Yong turut mengakui, status kecederaannya kini semakin baik dan mungkin sekitar 60 hingga 70 peratus untuk mendapatkan kembali 100 peratus kecergasannya.

“Saya berasa bagus, mungkin ada sedikit rasa tegang, tetapi, untuk, hari ini, saya cuma lebih berhati-hati dan bermain selamat.

“Tengok macam mana, saya akan berbincang dengan jurulatih mengenai keadaan saya, namun, saya tahu saya perlu bermain,” katanya.

Mengulas mengenai Sukan Olimpik, menurut anak kelahiran Johor itu, dia tidak terlalu bimbang tentang peluangnya itu kerana masih berada dalam ranking yang melayakkannya beraksi pada temasya empat tahun sekali tersebut.

Sementara itu, Leong Jun Hao yang turun sebagai perseorangan kedua hanya mengambil masa selama 19 minit untuk mengutip mata kedua Malaysia selepas mengetepikan Marhanif Ali menerusi kemenangan straight set 21-5, 21-6.

Mata kemenangan skuad kebangsaan diraih oleh pemain remaja negara, Eogene Ewe selepas anak muda berusia 18 tahun itu mudah menundukkan Mattew Minggat 21-8, 21-4.

Dalam aksi beregu, Chong Hon Jian-Muhammad Haikal yang diletakkan sebagai pasangan pertama Malaysia menewaskan gandingan Brunei, Marhanif Ali-Haziq Roze 21-5, 21-12 hanya dalam masa 20 minit.

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani melengkapkan kemenangan sempurna Malaysia 5-0 setelah tidak berdepan masalah menumpaskan Mattew Minggat-Mohamad Iqbal Asyraf Mohamad 21-9, 21-7. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN