PUTRAJAYA: Kenaikan ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi acara berpasukan menjadi hadiah cukup bermakna buat tekong utama negara, Mohammad Syahir Rosdi.
Menurut Syahir, kenaikan itu juga menjadi khabar gembira buat rakan sepasukan yang berusia 35 tahun ke atas termasuk apit kanan negara, Farhan Adam yang bakal menamatkan aksi di pentas Sukan Asia.
“Saya rasa ini memang hadiah untuk pemain yang berusia 37 dan 36 tahun, malah saya fikir inilah ganjaran paling besar yang mereka dapat. Sebelum bersara, sekurang-kurangnya mereka dapat menikmati imbuhan ini,” katanya.
Menurut Syahir, kenaikan itu membolehkan pemain veteran mengakhiri karier dengan lebih tenang dan berpuas hati selepas sekian lama mencurahkan bakti kepada sukan sepak takraw negara.
Bagi Syahir sendiri, ganjaran berkenaan turut membawa makna peribadi apabila menjadi rezeki buat keluarganya, khususnya isterinya yang sedang menanti kelahiran cahaya mata dalam tempoh terdekat.
“Ganjaran yang saya dapat adalah rezeki untuk isteri yang sarat mengandung lapan bulan,” katanya.
Sebelum ini, Syahir meluahkan rasa terkilan apabila pemain sepak takraw hanya menerima RM15,000 seorang bagi kejayaan meraih emas acara regu berpasukan pada Sukan Asia, sedangkan pemenang emas acara individu menerima RM80,000.
Luahan itu dibuat bagi menjelaskan jurang ganjaran yang diterima atlet acara berpasukan, selain berharap penambahbaikan dapat dilaksanakan supaya sukan seperti sepak takraw, hoki dan ragbi terus menarik minat generasi muda.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, perjuangan menyemak semula kadar SHAKAM bukan hanya untuk sepak takraw, sebaliknya mewakili kepentingan semua sukan yang membabitkan acara berpasukan.
“Kenaikan ini saya ingat besar, lebih daripada 100 peratus berbanding sebelum ini. Perjuangan ini bukan untuk sepak takraw sebenarnya, tetapi untuk semua sukan yang terbabit dalam acara berpasukan,” katanya.-UTUSAN











