Kerajaan tanggung sepenuhnya kos rawatan Hafizuddin

Kerajaan tanggung sepenuhnya kos rawatan Hafizuddin

MOHAMMED Taufiq Johari menyantuni serta menzahirkan sokongan moral kepada Roslin Yahaya, bapa kepada atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin ketika sesi ziarah di Hospital Kuala Lumpur (HKL). - KBS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan menanggung sepenuhnya kos rawatan dan perubatan atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin yang mengalami kecederaan serius akibat kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, tanggungan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) itu merangkumi rawatan susulan dan penginapan di wad sehingga Hafizuddin dibenarkan keluar hospital.

Menurutnya, elaun latihan atlet berkenaan juga akan diteruskan seperti biasa mengikut kadar kelayakan semasa bagi membantu meringankan beban kewangan sepanjang tempoh pemulihan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hafizuddin berada dalam keadaan baik dan kuat semangat. Saya turut bertemu ibu bapa dan ahli keluarga beliau serta menyampaikan sumbangan peribadi bagi meringankan beban keluarga sepanjang tempoh rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan MSN melalui Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) turut mendapati Hafizuddin layak menerima manfaat polisi insurans yang dianggarkan berjumlah RM120,000.

Selain itu, Hafizuddin turut layak menerima perlindungan di bawah Skim Lindung 24 Jam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), termasuk Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sebanyak RM50.40 sehari sepanjang tempoh cuti sakit.

“Berdasarkan anggaran Perkeso, beliau juga bakal menerima Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) sebanyak RM915.84 sebulan seumur hidup serta bayaran pukal sekali gus berjumlah RM39,060.58.

“Hafizuddin turut layak menerima faedah perubatan serta kemudahan pemulihan jasmani dan vokasional, selain penginapan dan makanan untuk keluarganya di Casa MSN atau lokasi lain yang sesuai.

“MSN juga akan meneliti bentuk bantuan dan sokongan jangka panjang yang bersesuaian, termasuk dari aspek pemulihan, kaunseling dan peluang masa depan beliau, bagi memastikan kebajikan Hafizuddin terus terpelihara,” katanya.

Terdahulu, Hafizuddin yang memenangi emas kategori 88 kilogram lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 terbabit dalam kemalangan motosikal di Lebuhrayaebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Isnin lalu, sehingga tangan kanannya terpaksa dipotong.

Atlet berusia 22 tahun itu menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala Mohammed Taufiq turut meminta orang ramai menghormati privasi Hafizuddin dan keluarganya sepanjang proses pemulihan berlangsung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini