PETALING JAYA: Kejohanan golf wanita, The Ladies 2026 rasmi membuka tirai kelmarin menerusi acara Pro-Am Diraja yang dirasmikan oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj di The Mines Resort and Golf Club.
Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu menyaksikan penyertaan seramai 50 pemain merangkumi kelompok profesional dan amatur termasuklah kemunculan semula juara bertahan, Liyana Durisic serta atlet Olimpik negara, Kelly Tan.
Menurut The Mines Resort & Golf Club, matlamat utama kejohanan itu adalah untuk melahirkan lebih ramai pemain berwibawa tempatan selain bertindak sebagai batu loncatan penting sebelum saingan bertaraf antarabangsa menjelang kejohanan Maybank Championship tidak lama lagi.
Katanya, penganjuran itu membawa mesej yang jelas kepada generasi muda bahawa kerjaya dalam bidang sukan golf profesional bukan mustahil untuk dicapai oleh wanita Malaysia.
“Ia adalah satu jemputan kepada generasi baharu untuk melihat golf profesional bukan sekadar sesuatu yang dimainkan di tempat lain di dunia tetapi sebagai laluan kerjaya yang boleh diceburi oleh wanita Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, saingan Pro-Am Diraja hari ini menyaksikan pasukan yang dibarisi Dianna Lee, Ang Bee Ee, Jojo Goh dan digandingkan bersama pemain profesional Kelly Tan dinobatkan sebagai juara keseluruhan.
Tempat kedua diraih oleh pasukan Miran Shin, Raina Azene Ramli, Nur Azreen dan pemain profesional Tan Ying Ying manakala kedudukan ketiga disandang oleh Yang Amat Mulia Che Puan Besar Kedah, Che Puan Hajah Hamimah Haji Hamidun, Datuk Norfaizah Zainal, June Yap bersama pemain profesional, Zulaikah Nasser.
Menurutnya lagi, selain memperkukuh pembangunan bakat tempatan, penganjuran edisi kali ini turut mendapat sokongan padu pelbagai syarikat korporat terkemuka seperti Prudential, 100PLUS, Power Root dan Delon.
Jelasnya, pihak penganjur turut mempunyai perancangan jangka panjang untuk meningkatkan kualiti kejohanan itu dengan sasaran hadiah terkumpul mencecah kira-kira RM12.5 juta pada masa hadapan.
“Objektifnya bukan sekadar meningkatkan wang kemenangan tetapi untuk mewujudkan acara yang mempunyai status kukuh bagi menarik perhatian antarabangsa, di samping memberikan pemain Malaysia platform yang lebih berkesan ke pentas global,” katanya. – UTUSAN











