Rikunov ubah strategi, tawan Cameron Highlands

Rikunov ubah strategi, tawan Cameron Highlands

Juara peringkat keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026, Petr Rikunov diapit Javier Ibanez Beltran De Salazar (kiri) dan Alan Jousseaume selepas menamatkan perlumbaan dari Meru Raya-Cameron Highlands, Pahang, semalam. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Percaturan Petr Rikunov untuk melupakan seketika pemburuan kedudukan keseluruhan (GC) ternyata membuahkan hasil apabila pelumba Wheeltop Rotor Chengdu Team itu melakar kemenangan pada Peringkat 4 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026, semalam.

Rikunov, 29, menampilkan kayuhan bertenaga dalam perlumbaan sejauh 142.3 kilometer (km) dari Meru Raya ke Cameron Highlands sebelum melintasi garisan penamat dengan catatan 3 jam 29 minit 12 saat.

Javier Ibanez mewakili Caja Rural-Seguros RGA terpaksa berpuas hati di tempat kedua, tiga saat di belakang, manakala Alan Jousseaume (TotalEnergies) melengkapkan podium dengan jurang sembilan saat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sangat gembira kerana ini hari yang cukup bermakna buat saya dan kemenangan penting untuk pasukan.

“Kami pada awalnya hadir dengan sasaran besar untuk GC bersama Jonathan Klever Caicedo, tetapi Peringkat 2 sangat sukar buatnya dan kakinya tidak berdaya.

“Jadi, selepas itu kami mengubah strategi dengan cuba berada dalam kelompok pelarian setiap hari dan memberi tumpuan kepada kemenangan peringkat,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Kemenangan itu turut menamatkan penantian lebih setahun buat Rikunov yang kali terakhir menaiki podium tertinggi ketika menjuarai Peringkat 7 Tour of Magnificent Qinghai di China pada 12 Julai 2025.

Sementara itu, Lennart Jasch daripada Tudor Pro Cycling Team terus mengekalkan jersi jingga selaku pendahulu GC dengan catatan keseluruhan 15 jam 46 minit 50 saat.

Abel Balderstone dan Jan Castellon daripada Caja Rural-Seguros RGA masing-masing mengekori di tempat kedua dan ketiga dengan perbezaan 20 dan 38 saat.

Dalam persaingan jersi putih selaku Pelumba Terbaik Asia, Yuhi Todome daripada Aisan Racing Team masih berada di hadapan dengan catatan 15:51:50s.

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Kee Zhe Yie menghuni tempat kedua dengan jurang 35 saat, manakala wakil St George Continental Cycling Team, Tsen Ren Bao di tempat ketiga, 50 saat di belakang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×