GENTING HIGHLANDS: Nusantara Cycling Team percaya masih memiliki peluang untuk mempertahankan gelaran pasukan terbaik Asia pada Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26).
Pengurus pasukan, Rastra Patria Dinawan, berkata, hadir dengan sasaran untuk mempertahankan kejuaraan berkenaan selain memburu kemenangan peringkat serta kedudukan terbaik dalam klasifikasi individu dan pasukan.
Ketika ini, Nusantara sedang mendahului kedudukan pasukan terbaik Asia dengan catatan masa 9 jam 54 minit 11 saat (s) sambil diekori rapat Malaysia Pro Cycling 10:02:26s manakala Wheeltop Rotor Chengdu Team (10:03:08s) di kedudukan ketiga.
“Kita masih ada lagi bagi perlumbaan. Ya, peluang kami masih besar untuk menjuarai kategori berpasukan terbaik Asia,” katanya.
Rastra turut berkata, tiga pelumba yang berada paling hampir dengan sasaran pasukan akan diberi tumpuan dalam usaha mencipta kelebihan pada pendakian berkenaan, iaitu Muhamad Herlangga, Ilham Dzikri Ramadhan dan Astnan Maulana.
Musim lalu, Nusantara muncul pasukan terbaik Asia selepas mengumpul masa keseluruhan 82:29:24s, meninggalkan Aisan Racing Team di tempat kedua dengan 82:29:33s, manakala Thailand Continental Cycling Team ketiga dengan 82:31:03s.
Dalam pada itu, Rastra berkata, Nusantara masih mempunyai ruang untuk memburu kemenangan peringkat pada tiga perlumbaan terakhir, terutama membabitkan laluan berbukit.
Esok, perlumbaan Peringkat 6 LTdL26 bermula dari Pandan Indah menuju Rembau dengan jarak keseluruhan 121.3 kilometer (km) menawarkan tiga zon pendakian di Ampang, Bukit Hantu dan Bukit Mendum.
Saingan tersebut turut menawarkan tiga zon pecutan di Ulu Beranang, Rahang dan Rembau. – UTUSAN











