PETALING JAYA: Pengendali interim skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu anak buahnya mengekalkan momentum positif selepas kejayaan menduduki tempat ketiga Piala ASEAN FIFA 2026.
Menurut Cheng Hoe, kejayaan di Jakarta memberi suntikan semangat dan berjaya meraih semula keyakinan penyokong selepas pemain sebelum ini berdepan tekanan untuk memenuhi harapan peminat.
“Selepas meraih tempat ketiga Piala ASEAN FIFA 2026, kita masih perlu mempertingkatkan prestasi individu. Kita tidak boleh hanyut dengan pujian kerana perjalanan kita masih panjang selepas ini.
“Pencapaian itu tidak seharusnya membuatkan pemain berasa selesa, sebaliknya perlu dijadikan pencetus untuk mereka meningkatkan lagi prestasi masing-masing,” kata pengendali berusia 58 tahun itu.
Menurut Cheng Hoe, sokongan penyokong yang kembali meningkat selepas kempen di Jakarta perlu dikekalkan kerana ia menjadi antara elemen penting dalam perjalanan Harimau Malaya meraih kejayaan.
Selepas ini, tugasan lebih mencabar menanti skuad negara apabila dijadual berdepan pasukan di ranking ke-94 dunia iaitu China dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Guangzhou, pada 14 dan 17 November ini.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menentang China adalah pada 2023 ketika dilatih Kim Pan Gon yang menyaksikan skuad negara melakar sensasi apabila mengikat lawan 1-1.
Dalam aksi persahabatan rasmi yang berlangsung di Chengdu itu, gol tunggal skuad kebangsaan diraih menerusi Faisal Halim sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi jaringan Lin Liangming.
Sebelum ini, Presiden FAM Datuk Ab Ghani Hassan memaklumkan, aksi persahabatan itu diatur bagi memburu mata ranking FIFAA bagi memastikan kedudukan balang yang lebih baik menjelang undian kelayakan Piala Dunia 2030. – UTUSAN











