PETALING JAYA: Jaguh basikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang bersedia ‘undur selangkah’ selepas Kejohanan Dunia di Shanghai pada 14 Oktober ini bagi memberi ruang kepada tubuh dan mindanya berehat sebelum memulakan fasa pembinaan semula menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Pelumba berusia 38 tahun itu berkata, beliau tidak mahu tergesa-gesa dalam tempoh terdekat sebaliknya mahu memperlahankan penglibatan dalam pertandingan selepas Kejohanan Dunia untuk memberi tumpuan kepada pengukuhan asas fizikal dan mental.
“Shanghai adalah acara pertama untuk kelayakan ke LA. Selepas itu, saya perlu memperlahankan sedikit, mendapatkan rehat dari segi mental dan fizikal sebelum membina semula semuanya.
“Perlahan-lahan saya mahu fokus kepada asas. Saya perlu memperbaiki aspek latihan di gimnasium dan sebagainya supaya dalam tempoh satu setengah hingga dua tahun menuju LA, saya boleh berada pada tahap terbaik,” katanya.
The Pocket Rocketman itu berkata, keputusan untuk memperlahankan rentak itu mungkin mengejutkan sesetengah pihak, namun langkah berkenaan penting bagi memastikan persiapannya ke LA28 dilakukan secara terancang.
“Saya perlu berundur sedikit. Saya harap semua orang tidak terkejut jika saya memperlahankan sedikit selepas Kejohanan Dunia kerana saya benar-benar perlu berada dalam fasa membina untuk LA, insya-Allah,” katanya.
Menurutnya, tumpuan selepas ini bukan sekadar mengejar keputusan jangka pendek, sebaliknya memperkukuh setiap aspek persiapan secara berperingkat bagi memastikan dirinya mencapai tahap terbaik dalam tempoh satu setengah hingga dua tahun akan datang.
Azizulhasni sebelum ini mencipta sejarah di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila mengulangi kejayaan meraih emas acara keirin lelaki seperti yang dilakukannya pada edisi 2010 di Guangzhou.
Lebih manis, kejayaan itu sekaligus menutup kekecewaan pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang selepas hanya merangkul pingat gangsa dalam acara Keirin.
Kejayaan itu menyaksikan beliau menutup tirai karier Sukan Asia dengan koleksi tiga emas, satu perak dan dua gangsa sepanjang lima penampilannya di temasya berkenaan. – UTUSAN











