PETALING JAYA: Harimau Malaya bersedia untuk satu lagi aksi sukar di Piala ASEAN FIFA 2026 apabila dijadualkan berdepan Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan A, malam ini.
Aksi di Stadium Si Jalak Harupat di Bandung, Indonesia itu bakal menjadi penentu buat kedua-dua pasukan bagi merebut tempat ke pentas final dan Malaysia dilihat memiliki sedikit kelebihan.
Berdasarkan kedudukan carta kumpulan ketika ini, Malaysia berada di tangga teratas, berkongsi empat mata dengan Indonesia, namun dibezakan oleh jumlah jaringan yang lebih besar.
Singapura pula berada di tangga ketiga selepas menewaskan Bangladesh dalam aksi kedua dan situasi semasa Kumpulan A itu menyaksikan Malaysia bukan sahaja perlu menang, tetapi perlu merekod jaringan besar.
Pengendali sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe percaya barisan pemainnya sudah cukup bersedia untuk menghadapi satu lagi ujian getir dalam perlumbaan merebut tempat ke final.
Katanya, dua perlawanan pertama memberikan pemain pengalaman, keyakinan dan detik penting sebagai sebuah pasukan, termasuk ketika mengikat tuan rumah Indonesia 0-0 di Stadium Gelora Bung Karno.
“Daripada dua perlawanan awal, saya fikir pemain-pemain kita memperoleh pengalaman, meningkatkan keyakinan dan melalui banyak situasi penting sebagai sebuah pasukan.
“Kita masih mempunyai perlawanan yang sukar menentang Singapura. Seperti yang kita katakan, kita tahu berdepan Singapura akan menjadi satu lagi perlawanan yang mencabar.
“Namun, saya yakin selepas memperoleh keputusan yang baik menentang Indonesia, kita sudah bersedia. Tetapi kita juga berdepan tempoh yang mencabar kerana perlu melakukan perjalanan ke Bandung.
“Itu bukan alasan, tetapi dalam bola sepak, kadangkala anda memerlukan pemulihan yang baik dan persiapan yang rapi. Bagaimanapun, kami bersedia untuk berdepan Singapura,” kata Cheng Hoe.
Menurut pengendali berusia 58 tahun itu, barisan kejurulatihan akan menilai kecergasan pemain terlebih dahulu sebelum menentukan kesebelasan terbaik serta sebarang perubahan yang perlu dilakukan untuk menghadapi Singapura.
Dalam pada itu, Cheng Hoe percaya semangat berpasukan dalam Harimau Malaya memberi kelebihan dalam membentuk taktikal bagi memerangkap Singapura dalam aksi malam ini.
“Persefahaman dan chemistry pemain JDT (Johor Darul Ta’zim )memberikan kita kelebihan tetapi bola sepak memerlukan kita bermain sebagai satu pasukan, bukan hanya pemain JDT. Saya fokus kepada prestasi pasukan,” tambahnya.
Dengan hanya satu perlawanan berbaki, perebutan tempat ke final masih terbuka apabila juara kumpulan akan mara ke perlawanan akhir, manakala naib juara akan beraksi dalam penentuan tempat ketiga pada Isnin ini. – UTUSAN











