Hakim Danish kelima terpantas sesi latihan di Sepang

Hakim Danish kelima terpantas sesi latihan di Sepang

Pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSI, Muhammad Hakim Danish Ramli menjalani latihan kelas Moto 3 pada Petronas Grand Prix of Malaysia 2026 (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang di sini hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mempamerkan kebangkitan pada sesi latihan bebas pertama (FP1) selepas mencatat masa kelima terpantas pada Grand Prix Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, hari ini.

Anak jati Terengganu yang bernaung di bawah pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu mencatat masa sepusingan 2 minit 11.834 saat (s).

Selepas mempamerkan prestasi hambar dalam beberapa pusingan sebelum ini, Hakim Danish akhirnya kembali menembusi kelompok 10 terbaik pada FP1.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pelumba Sepanyol yang mewakili pasukan Red Bull KTM Ajo, Alvaro Carpe mencatat masa terpantas 2:11.585s, manakala, juara dunia Moto3 yang baharu, Maximo Quiles dari pasukan CFMOTO Gaviota Aspar Team menghuni tempat kedua dengan lakaran masa 2:11.714s.

Rakan sepasukan Quiles, Marco Morelli dari Argentina melengkap aksinya pada sesi latihan itu di kedudukan ketiga dengan catatan masa 2:11.720s.

Pelumba Indonesia, Veda Pratama yang mewakili pasukan Honda Team Asia pula berada di tangga keempat menerusi lakaran masa sepusingan 2:11.819s.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif ketika diminta mengulas mengenai prestasi Hakim Danish pada FP1 berkata, beliau berharap pelumba tersebut dapat memberikan yang terbaik tanpa dibebani sebarang tekanan dan fokusnya perlu diberi pada sesi kelayakan, esok.

“Macam saya cakap, dia tiada tekanan. Saya yakin Hakim Danish akan cuba yang terbaik. Kita nampak pagi ini (trek) masih kering belum ada lagi hujan dan kita tengok persembahan dia.

“Paling penting kelayakan, esok dia buat yang terbaik dan dia berada di petak hadapan dan terus beri persembahan yang terbaiklah pada hari Ahad nanti,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini