PETALING JAYA: Atlet karate negara, C. Shahmalarani membuktikan kualitinya selepas merangkul pingat emas dalam kategori kumite wanita bawah 50 kilogram (kg) pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, semalam.
Shahmalarani menewaskan wakil Hong Kong, Tsang Yee Ting menerusi keputusan juri selepas kedua-dua atlet terikat 0-0 dalam aksi final di Gimnasium Toyohashi.
Kejayaan itu menyaksikan Shahmalarani menyumbang pingat emas ketiga buat kontinjen negara pada temasya kali ini, sekali gus melengkapkan penantian panjangnya untuk bergelar juara Sukan Asia.
“Laluan ini penuh dengan suka duka tetapi saya sangat gembira ketika ini, saya cuma mahu menikmati detik ini. Ia adalah perjalanan yang sukar untuk sampai ke tahap ini.
“Saya merasakan tanggungjawab yang amat besar di bahu saya dan saya bersyukur dapat memenangi emas ini untuk Malaysia. Saya sudah lama menantikan detik ini.
“Kami berdua memang saling mengenali gaya permainan masing-masing, jadi saya tahu perlawanan (menentang Yee Ting) akan berlangsung sengit.
“Saya benar-benar menjaga jarak dalam perlawanan akhir kerana saya tahu kesilapan kecil akan membawa padah. Dia juga tidak mahu melakukan sebarang kesilapan, sebab itu perlawanan menjadi sangat sengit,” katanya selepas aksi di Gimnasium Toyohashi, semalam.
Shahmalarani terlebih dahulu menewaskan Fong Man Wai dari Macau 8-0 pada pusingan pembukaan sebelum menundukkan Saiama Jaman dari Bangladesh 5-4 di peringkat suku akhir.
Pada separuh akhir, atlet berusia 27 tahun itu menewaskan wakil Uzbekistan, Gulshan Alimardanova 3-2 untuk mara ke final, sekali gus membalas kekalahan dalam perlawanan akhir kejohanan dunia tahun lalu.
“Dia pernah menewaskan saya tiga kali sebelum ini, jadi kejayaan menewaskannya buat kali pertama ini amat bermakna bagi saya.
“Ia satu pembalasan dendam yang manis, namun begitu saya tetap menaruh rasa hormat yang tinggi terhadapnya,” katanya. – UTUSAN











