Peluang ke final masih terbuka - Cheng Hoe

Peluang ke final masih terbuka – Cheng Hoe

Pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Halim cuba melepasi halangan pertahanan Indonesia dalam saingan Piala ASEAN FIFA 2026 di Gelora Bung Karno, Jakarta, kelmarin. - IHSAN FAM/FIFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Misi Harimau Malaya untuk mara ke pentas akhir Piala ASEAN FIFA 2026 masih terbuka dengan syarat mereka perlu ‘membelasah’ Singapura dalam aksi terakhir Divisyen 1 Kumpulan A di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, Khamis ini.

Meskipun berdepan tempoh pemulihan singkat selepas mengharungi dua aksi sengit, pengendali sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe percaya anak buahnya sudah cukup bersedia untuk menghadapi satu lagi ujian getir dalam perlumbaan merebut tempat ke final.

Cheng Hoe berkata dua perlawanan pertama memberikan pemain pengalaman, keyakinan dan detik penting sebagai sebuah pasukan, termasuk ketika mengikat tuan rumah Indonesia 0-0 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), kelmarin.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya rasa pemain kita mendapat pengalaman, keyakinan dan begitu banyak detik sebagai satu pasukan. Kita masih ada perlawanan sukar menentang Singapura dan seperti yang kita katakan, ia adalah derbi Causeway.

“Kita tahu bermain menentang Singapura akan menjadi satu lagi perlawanan yang sukar, tetapi saya yakin selepas mendapat keputusan baik menentang Indonesia, kita sudah bersedia,” kata Cheng Hoe pada sidang media selepas perlawanan menentang Indonesia.

Cheng Hoe mengakui aspek pemulihan dan persiapan menjadi cukup penting bagi memastikan pemain berada pada tahap terbaik sebelum perlawanan penentuan itu.

“Kita juga melalui masa yang sukar kerana perlu melakukan perjalanan ke Bandung. Ia bukan alasan tetapi kadangkala dalam bola sepak, anda memerlukan pemulihan yang baik, persiapan yang baik dan kita bersedia untuk bermain menentang Singapura,” ujarnya.

Jurulatih berusia 58 tahun itu berkata barisan kejurulatihan akan menilai kecergasan pemain terlebih dahulu sebelum menentukan kesebelasan terbaik serta sebarang perubahan yang perlu dilakukan untuk menghadapi Singapura.

Malaysia kini berada di tangga teratas Kumpulan A dengan empat mata, berkongsi jumlah sama dengan Indonesia di tempat kedua tetapi mendahului berdasarkan perbezaan gol manakala Singapura mengumpul tiga mata dan Bangladesh masih tercorot tanpa mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×