KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat Le Tour de Langkawi (LTdL26) 2026, Emir Abdul Jalal berkata, pihak penganjur sudah menyediakan beberapa pelan alternatif sekiranya keadaan cuaca seperti jerebu, banjir atau hujan lebat menjejaskan keselamatan perlumbaan.
Menurutnya, penganjuran LTdL26 tertakluk kepada peraturan ditetapkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), termasuk tindakan yang perlu diambil sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak mengizinkan perlumbaan diteruskan.
“Untuk penganjuran LTdL kali ini, kita sudah persiapkan diri dan mempunyai alternatif. Jika bacaan jerebu terlalu tinggi sehingga membahayakan keselamatan, mungkin perlumbaan terpaksa dihentikan, dibatalkan atau dilewatkan.
“Perkara itu akan kita kemaskini dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan semasa.
“LTdL dan acara sukan di bawah UCI, semuanya mempunyai peraturan tertentu. Sekiranya berlaku keadaan luar biasa, penganjur sudah pun menyediakan laluan alternatif,” katanya.
Emir berkata, pengalaman lalu turut membuktikan penganjuran LTdL26 perlu sentiasa bersedia menghadapi keadaan tidak dijangka, termasuk ketika perlumbaan terpaksa dihentikan dan dineutralkan akibat banjir di Negeri Sembilan pada 2004.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, pihaknya turut mengambil kira keadaan jerebu yang sukar diramal dan boleh berubah dari sehari ke sehari.
“Baru-baru ini kita lihat beberapa acara terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan. Kalau terlalu banyak masalah akibat penangguhan, ia akan memberi kesan kepada penganjur yang sudah mengeluarkan wang untuk membawa masuk pasukan dan membuat semua persiapan.
“Jadi, sekiranya keadaan jerebu tidak berada pada tahap yang teruk, saya syorkan kita teruskan. Jika tiada pasukan dari negara lain membuat sebarang aduan mengenai keadaan jerebu, saya fikir tiada sebab untuk kita menangguhkan perlumbaan dan kita patut teruskan,” katanya.
Sebagai rekod, sebanyak 38 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat setakat 9 pagi ini termasuk di negeri Sarawak, Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan di ibu kota.
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya). – UTUSAN










