Jonassen tuntut skuad badminton lebih konsisten

Jonassen tuntut skuad badminton lebih konsisten

Kenneth Jonassen
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen mahu kejutan yang dicetuskan Leong Jun Hao terhadap pemain No. 1 dunia, Jonatan Christie menjadi pencetus kepada aksi lebih konsisten skuad negara apabila saingan individu Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bermula esok.

Menurutnya, persembahan bertenaga yang ditunjukkan Jun Hao ketika membantu kempen acara berpasukan bukan sahaja memberi mata penting kepada negara, malah membuktikan pemain Malaysia mampu mencipta keputusan di luar jangkaan apabila beraksi dengan keyakinan.

Justeru, Jonassen percaya pemain negara perlu membawa keyakinan tersebut ke acara individu, namun mengakui undian yang bakal ditentukan hari ini turut memainkan peranan dalam menentukan laluan masing-masing.

“Untuk acara individu yang akan bermula 25 September (esok), kita sama-sama harapkan undian yang baik untuk pemain kita. Kita sudah belajar sesuatu daripada aksi sebelum ini dan sekarang fokus kami adalah untuk melihat ke hadapan.

“Memang benar aksi Jun Hao memberikan inspirasi kepada pemain lain. Kami sentiasa percaya dengan kemampuan yang dimilikinya selama ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Malaysia sebelum ini menamatkan cabaran berpasukan di peringkat suku akhir selepas skuad lelaki tewas 2-3 kepada Indonesia, manakala pasukan wanita gagal melangkah lebih jauh apabila tunduk 1-3 kepada Korea Selatan.

Bagaimanapun, dua kekalahan itu tidak menutup beberapa perkembangan positif apabila Jun Hao tampil sebagai antara tumpuan utama selepas menumbangkan Jonatan 20-22, 21-12, 21-17 dalam aksi perseorangan pertama.

Bagi Jonassen, kekalahan kedua-dua pasukan berkenaan lebih berkait dengan kegagalan pemain negara menterjemahkan peluang yang hadir, sekali gus menjadikan perkara itu antara aspek yang perlu diperbaiki menjelang saingan individu.

“Kekalahan itu memang sukar untuk diterima, tetapi semua pemain sudah memberikan segala-galanya. Kita sebenarnya mempunyai beberapa peluang untuk mendapatkan kemenangan, cuma malangnya peluang tersebut tidak dimanfaatkan.

“Sekarang kami perlu mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku dan memastikan pemain lebih bersedia apabila turun dalam acara individu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×