Irfan sedia rebut peluang podium

Irfan sedia rebut peluang podium

Irfan Shamsuddin berdepan cabaran sengit berdepan atlet China dan Jepun dalam perebutan pingat Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Atlet lempar cakera negara, Irfan Shamsuddin berada pada kedudukan terbaik untuk memburu pingat apabila bakal membuat perhitungan dengan dua wakil China dan seorang pelontar Jepun pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Irfan yang kini menduduki tangga ketiga ranking Asia perlu berdepan peneraju ranking, Abuduaini Tuergong dari China serta wakil Jepun, Masateru Yugami di kedudukan kedua.

Seorang lagi wakil China, Nanjun Wu yang berada di tangga keempat terbaik Asia turut dijangka memberi cabaran sengit dalam persaingan merebut podium.

Penyelaras Program Kejurulatihan Olahraga Malaysia (MA), Mohd. Manshahar Abd. Jalil berkata, Irfan berada dalam keadaan baik dan peluang untuk meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa tetap terbuka berdasarkan kedudukannya dalam ranking.

“Irfan Shamsuddin masih dalam keadaan baik. Kalau berdasarkan ranking, Irfan masih berada dalam kedudukan pingat gangsa dengan catatan 62 meter (m) lebih. Kita lihat bagaimana,” katanya.

Berdasarkan rekod penampilan Irfan di temasya terbesar Asia itu dia menamatkan saingan di kedudukan ke-12 pada Sukan Asia Incheon 2014 dengan catatan 53.86m, tempat kelima di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 (57.70m) dan tangga keenam di Sukan Asia Hangzhou 2022 (58.94m).

Irfan pemenang pingat emas Sukan SEA tujuh kali sebelum ini memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri apabila melakukan catatan 62.87m di Veszprem, Hungary, Jun lalu.

Selain Irfan, turut bakal beraksi bagi acara olahraga pada hari ini adalah jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dan Muhammad Umaira Subri bagi acara 100m.

Azeem dan Umaira masing-masing diletakkan dalam saringan kelima dan keenam yang akan beraksi di Stadium Olahraga Mizuho, Nagoya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×