Bergson tak sabar sarung jersi Harimau Malaya

Bergson tak sabar sarung jersi Harimau Malaya

Penyerang JDT, Bergson Da Silva beraksi dalam Kejohanan ACLE 2026 menentang Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva tidak sabar untuk menyarung jersi Harimau Malaya selepas mendapat ‘lampu hijau’ Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Bergson menyifatkan kelulusan FIFA untuk mewakili Malaysia sebagai satu penghormatan besar sepanjang karier profesionalnya.

Pemain berasal dari Brazil itu mengakui tidak pernah membayangkan akan melalui proses naturalisasi untuk mewakili Malaysia ketika mula-mula mendarat di negara ini lima hingga enam tahun lalu.

“Bila pertama kali datang ke sini, saya tidak pernah terfikir untuk dinaturalisasikan. Sasaran saya hanya satu iaitu memberikan yang terbaik buat JDT. Saya sangat gembira dengan prestasi dan sokongan padu yang diberikan oleh ‘bos’ (Tunku Mahkota Ismail) sepanjang perjalanan ini. Saya mahu membalas semula segala sokongan Malaysia dan bos menerusi kerja keras di atas padang,” katanya.

Bergson, 35, yang menyertai JDT pada 2021 dan melengkapkan tempoh lima tahun berada di Malaysia pada Februari lepas sekali gus membuka laluan untuk proses naturalisasi bagi membolehkannya mewakili Harimau Malaya.

Mengulas kesediaannya menyarung jersi Harimau Malaya menjelang saingan Kelayakan Piala Asia dan kalendar FIFA, Bergson menegaskan dia sentiasa bersiap sedia sekiranya khidmatnya ditagih skuad kebangsaan.

Malah, penyerang prolifik itu turut menyimpan impian untuk terus mencetak nama sebagai penjaring pada aksi sulungnya kelak.

“Setiap hari saya tidur dan bangun dengan berfikir mengenai gol. Jika dipanggil menyertai skuad kebangsaan pada 21 September ini, saya sentiasa sedia,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×