Azhar nafi wujud ‘budaya angguk’ dalam FAM

Azhar nafi wujud ‘budaya angguk’ dalam FAM

FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ‘Budaya angguk’ dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak berlaku sedangkan setiap ahli gabungan diberi ruang bersuara dan mengemukakan pandangan, kata Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Mohd Azhar Jamaluddin

Beliau berkata, ahli gabungan FAM mempunyai ruang untuk mengemukakan pandangan, cadangan dan persoalan, termasuk menyatakan perbezaan pendapat dalam mesyuarat yang diadakan.

Mohd Azhar yang juga merupakan bekas Naib Presiden FAM berkata, segala keputusan yang dicapai selepas melalui proses perbincangan tidak seharusnya dilabel sebagai ‘budaya angguk’.

“Dalam mesyuarat dan perbincangan FAM, setiap ahli diberikan ruang untuk menyuarakan pandangan, mengemukakan cadangan, bertanya soalan dan menyatakan perbezaan pendapat.

“Tidak semua perkara diputuskan secara sebulat suara dan tidak semua pandangan semestinya sama. Persetujuan selepas melalui proses perbincangan bukanlah ‘budaya angguk’,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan calon Presiden FAM, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang mahu menghapuskan ‘budaya angguk’ dalam pentadbiran FAM.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Kamarudin Hassan pula berkata, mana-mana pihak tidak wajar membuat dakwaan hanya berdasarkan persepsi sehingga mencemarkan nama baik organisasi.

“Jika benar wujud ‘budaya angguk’, kita perlu bercakap berdasarkan fakta. Nyatakan mesyuarat atau perkara tertentu yang menunjukkan ahli gabungan tidak diberikan ruang untuk bersuara.

“Ahli gabungan FAM bukan terdiri daripada individu yang hanya datang untuk mengangguk. Mereka adalah pemimpin persatuan negeri dan kelab yang mempunyai pengalaman serta pandangan masing-masing.

“Mereka juga tahu bila perlu bersetuju atau menyuarakan pandangan,” tegasnya yang juga bekas Exco FAM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×