Ab Ghani tidak perlu kosongkan kerusi Presiden MFL - AFC

Ab Ghani tidak perlu kosongkan kerusi Presiden MFL – AFC

Windsor Paul John
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Ab Ghani Hassan tidak perlu melepaskan jawatannya sebagai Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) biarpun bersaing merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John berkata, Ab Ghani memenuhi syarat dan mengikut peraturan yang ditetapkan dan perkara ini telah diputuskan oleh jawatankuasa pemilihan FAM.

Selain itu katanya, tiada dalam peraturan atau statut FAM yang menuntut seseorang calon perlu mengosongkan jawatan sedia ada dalam badan berkaitan bola sepak sebelum menawarkan diri untuk bertanding dalam badan induk itu.

Beliau berkata, perkara paling penting adalah calon berkenaan memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan dalam perlembagaan FAM serta mendapat pencalonan daripada ahli gabungan yang sah.

“Tiada peruntukan yang memerlukan Presiden MFL melepaskan jawatannya untuk bertanding mana-mana jawatan termasuk Presiden FAM. Maka, Presiden MFL boleh bertanding jawatan Presiden FAM seperti biasa, tiada halangan.

“Kalau seseorang itu layak bertanding, dia boleh bertanding. Soal sama ada perlu melepaskan jawatan atau tidak bergantung kepada peraturan badan berkenaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Windsor berkata demikian ketika mengulas kedudukan Ab Ghani yang kini memegang jawatan Presiden MFL, namun turut dinamakan sebagai calon untuk merebut jawatan Presiden FAM pada pemilihan badan induk itu pada Khamis ini.

Sebelum ini, pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berpandangan Ab Ghani wajar melepaskan jawatan Presiden MFL sebelum berdepan Datuk Seri Shahril Mokhtar bagi merebut jawatan Presiden FAM.

Windsor menjelaskan, MFL dan FAM merupakan dua badan yang mempunyai fungsi berbeza dalam struktur bola sepak negara, justeru seseorang yang memegang jawatan dalam salah satu badan itu tidak semestinya hilang kelayakan.

“Yang perlu dilihat ialah perlembagaan dan undang-undang badan tersebut. Kalau tiada peruntukan yang melarang, maka tidak ada masalah untuk seseorang itu bertanding,” katanya.

Dalam pada itu, Windsor menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan jawatan atau potensi pertindihan peranan perlu diteliti berdasarkan peraturan yang jelas, bukannya dibuat atas andaian.

“Kalau ada isu konflik kepentingan, itu perkara yang boleh dibincangkan dan diuruskan mengikut peraturan. Tetapi ia tidak semestinya bermakna seseorang itu perlu melepaskan jawatan terlebih dahulu untuk bertanding,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×