PETALING JAYA: Beregu lelaki yang dipecah ganding, Man Wei Chong-Soh Wooi Yik gagal bermula dengan baik, apabila mereka ditimpa kekalahan dalam penampilan sulung pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo, Jepun, hari ini.
Wei Chong-Wooi Yik terpaksa akur kepada pasangan No. 18 dunia, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen dari Taiwan 23-21, 17-21, 16-21 dalam masa 1 jam 2 minit di peringkat 32 terbaik.
Wooi Yik yang dipisahkan daripada pasangan asalnya Aaron Chia oleh ketua jurulatih, Herry Iman Pierngadi, kelihatannya masih memerlukan masa untuk mencari momentum serta keserasian bersama Wei Chong di dalam gelanggang.
Turut menerima nasib serupa dengan Wei Chong-Wooi Yik adalah dua beregu profesional, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong dan Choi Sol Gyu-Goh V Shem yang tewas kepada lawan masing-masing.
Azriyn-Wee Kiong tumpas kepada beregu tuan rumah yang berada di ranking No. 10 dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 17-21, 14-21 dalam masa 33 minit.
Kekalahan tersebut menyaksikan Hoki-Kobayashi kini mendahului selesa ke atas beregu negara itu dengan rekod pertemuan 2-0.
Beregu gabungan dua negara iaitu Korea Selatan dan Malaysia, Sol Gyu-V Shem pula gagal menghadirkan tentangan kepada pasangan No. 5 dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China apabila kalah mudah 11-21, 11-21 hanya dalam masa 25 minit.
Kegagalan tiga beregu tersebut juga meninggalkan hanya dua wakil Malaysia dalam sektor beregu lelaki iaitu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dan Kang Khai Xing-Aaron Tai yang akan beraksi pada pusingan kedua, esok. – UTUSAN










